Institusi tempatan kekal pembeli bersih, labur RM575.8 juta

Pelabur asing mengekalkan momentum jualan mereka di Bursa Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut dengan nilai ekuiti RM415.1 juta.
Pelabur asing mengekalkan momentum jualan mereka di Bursa Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut dengan nilai ekuiti RM415.1 juta.
A
A
A

INSTITUSI tempatan mengekalkan belian bersih ke atas ekuiti Malaysia di Bursa Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut dengan mencatatkan RM575.8 juta pada minggu lepas, kata MIDF Research.

Dalam laporan aliran dana mingguan terbarunya pada Isnin, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata, institusi tempatan juga berperanan sebagai penjual bersih melibatkan nilai RM24 juta pada Selasa lepas, namun lebih ketara sebagai pembeli bersih sepanjang minggu lepas.

"Peruncit tempatan ternyata beralih kepada jualan bersih pada RM160.7 juta selepas mencatat belian bersih seketika selama dua minggu. Mereka juga mencatat jualan bersih setiap hari pada minggu lepas.

"Pada masa sama, pelabur asing mengekalkan momentum jualan mereka di Bursa Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut dengan nilai ekuiti RM415.1 juta iaitu menyederhana daripada negatif RM1.51 bilion pada minggu sebelumnya.

"Mereka hanya membeli ekuiti bernilai RM46.5 juta pada Selasa tetapi menjadi penjual bersih sepanjang minggu ini (lepas)," katanya.

Menurut MIDF, sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah hartanah (RM81.1 juta), pembinaan (RM37.1 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM17.7 juta).

Selain itu, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM186 juta), perladangan (RM115.7 juta) dan tenaga (RM59.6 juta).

Dari segi penyertaan, MIDF berkata, purata jumlah dagangan harian meningkat di semua kelas pelabur dengan peruncit tempatan meningkat sebanyak 13.9 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur asing turut bertambah masing-masing sebanyak 11.2 peratus dan 30.1 peratus. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28