Medan selera tawar khidmat seks diserbu

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang pada Sabtu.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 47 individu termasuk 27 wanita ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, bertindak atas maklumat risikan, polis melaksanakan serbuan ke atas 11 premis termasuk pusat urut dan medan selera pada jam 2.50 petang hingga 11 malam.

"Kita telah menahan 47 individu membabitkan enam lelaki serta dua wanita warga tempatan, 14 lelaki dan 25 wanita warga asing berusia 18 hingga 60 tahun.

"Peranan individu yang ditahan antaranya lapan penjaga premis, enam wanita pelayan pelanggan, empat wanita disyaki pelacur, 15 tukang urut wanita dan 14 lelaki merupakan pekerja premis urut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Noor Dellhan berkata, modus operandi medan selera yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran dengan menawarkan khidmat layanan wanita warga asing dan aktiviti kalungan bunga untuk menarik pelanggan

"Pelanggan akan membayar dengan harga tertentu untuk kalung bunga, kemudian membawa keluar wanita terbabit bagi tujuan perkhidmatan seks," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas lima keping kondom, tiga minyak urut, lima helai tuala, tiga gulung tisu dan empat keping resit perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang wanita ditahan dalam serbuan di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang pada Sabtu.
Salah seorang wanita ditahan dalam serbuan di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang pada Sabtu.

"Kita turut merampas 10 keping jadual kerja, tujuh iklan pakej urutan, lima lesen perniagaan, 20 kalung bunga, tiga mikrofon, satu pembesar suara, dekorder kamera litar tertutup (CCTV), 10 modem, satu router, dua telefon bimbit dan wang tunai RM4,730," katanya.

Menurutnya, kesemua individu terbabit ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Pihak Polis meminta orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!