Tiga wanita ditahan kes samun RM300,000

Kereta dinaiki mangsa sebelum dia disamun di tepi jalan di Taman Melawati, pada Jumaat lalu.
Kereta dinaiki mangsa sebelum dia disamun di tepi jalan di Taman Melawati, pada Jumaat lalu.
A
A
A

AMPANG - Seramai tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun membabitkan urus niaga emas hingga melibatkan kerugian RM300,000 di Taman Melawati, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kesemua suspek ditahan susulan laporan seorang pemilik restoran.

"Mangsa bersama rakannya membuat urus niaga berkaitan jongkong emas dengan seorang wanita dan lelaki di sebuah pusat beli-belah, di sini, pada jam 1 petang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam berkata, mangsa kemudian diminta menaiki sebuah kereta Proton Gen2 untuk mengambil emas berkenaan dan didakwa dibawa pusing tiga kali mengelilingi pusat beli-belah terbabit.

"Mereka kemudian dibawa ke Jalan G1 dan kereta itu berhenti di tepi jalan sebelum empat suspek lelaki warga asing dengan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah kepala mangsa.

"Suspek juga menggunakan penyembur lada, kemudian merampas beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM300,000. Kesemua suspek telah melarikan diri dengan menaiki kereta lain," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pada jam 7.15 malam hari sama, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap seorang wanita di Taman Melawati.

"Susulan tangkapan itu, kita membuat serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Ampang dan menahan dua wanita, pada jam 11.40 malam pada keesokan hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek pertama direman lima hari hingga 20 Mac dan dua lagi suspek direman sehingga 23 Mac.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!