'Syukur ada juga juadah untuk dimakan'

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman memberi makanan kepada salah seorang anak kepada komuniti rentan pada petang Sabtu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman memberi makanan kepada salah seorang anak kepada komuniti rentan pada petang Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Setiap kali Ramadan, komuniti rentan setia menunggu juadah percuma yang diagihkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah di Jalan Wong Ah Jang.

Golongan itu menjadikan kawasan di Jalan Wong Ah Jang dan jalan pasar serta kawasan sekitar sebagai lokasi berteduh.

Kelibat mereka kelihatan seawal jam 5.30 petang di Jalan Wong Ah Jang, sedangkan agihan 300 bungkus makanan percuma bermula sekitar jam 6 petang.

Tukang sapu, N Murugan, 57, mengakui bernasib baik kerana perutnya terisi saban hari apabila NGO tampil menghulurkan makanan kepada golongan rentan.

Katanya, walaupun bukan beragama Islam, namun makanan percuma itu tetap diberikan kepadanya.

"Saya seronok dapat tumpang tuah. Saya memang tunggu waktu ini (agihan makan) setiap kali Ramadan.

"Hari ini, saya ambil tiga bungkus makanan, selain diagihkan kepada kawan-kawan lain," katanya.

Bagi, Kesai, 62, dari Segamat, Johor memberitahu sudah menetap di Kuantan sejak tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia yang tidak bekerja hanya bergantung hidup kepada sumbangan daripada NGO dan warga setempat.

Namun dia bersyukur kerana bulan Ramadan ada juadah percuma diberikan kepada golongan sepertinya.

"Syukur ada juga juadah untuk saya, kakak dan kawan-kawan lain untuk makan. Pemberian ini, amat saya hargai sebab bolehlah kami isi perut," luahnya dari suku kaum Jakun.

Badrul Jamili
Badrul Jamili

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, pihaknya menyediakan 1,500 juadah berbuka puasa percuma setiap hari sepanjang Ramadan untuk golongan memerlukan di daerah ini.

Katanya, sebanyak 300 juadah masing-masing diberikan kepada komuniti Jalan Wong Ah Jang dan Lorong Pasar Besar manakala selebihnya diagihkan beberapa NGO kepada pelbagai pihak termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kalau ada yang tidak mampu membeli makanan, mereka boleh datang ambil di sini.

"Mereka boleh juga menghubungi NGO yang yang bekerjasama dengan kami untuk mendapatkan juadah percuma ini," katanya yang menerima sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), kerajaan negeri dan sebagainya.

Beliau juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang berbentuk bahan mentah seperti beras, santan, bawang dan lauk bagi membolehkan agihan makanan dapat diteruskan sehingga pengunjung Ramadan ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28