[VIDEO] Air balang percuma sempena Ramadan

A
A
A

IPOH - Pemberian air minuman percuma kepada kepada orang ramai sempena Ramadan menjadi aktiviti tahunan untuk mereka yang berkemampuan berkongsi rezeki.

Program Hentian Air Balang Ramadan yang dicetuskan seorang usahawan, Mohd Fariq Izwan Md Bahrin, 42, nyata mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan penerima tetapi juga daripada penyumbang.

Menurut Mohd Fariq, idea tersebut tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh pandemik tahun 2020 dan ia diteruskan pada bulan Ramadan bagi membantu orang ramai meringankan beban.

Jelasnya, pada Ramadan tahun ini sebanyak 10 hingga 16 balang air minuman percuma diagihkan setiap hari kepada orang ramai mulai jam 5.30 petang.

Pemberian air percuma menerusi inisiatif Hentian Air Balang Ramadan disediakan setiap hari kepada orang ramai bagi membantu meringankan beban. Gambar kecil: Mohd Fariq
Pemberian air percuma menerusi inisiatif Hentian Air Balang Ramadan disediakan setiap hari kepada orang ramai bagi membantu meringankan beban. Gambar kecil: Mohd Fariq

"Sebenarnya kita buat konsep infak. Hasil daripada sumbangan orang ramai ini, saya sediakan air balang secara percuma untuk orang ramai.

"Setiap orang kita beri dua jenis air macam di bazar Ramadan. Antara airnya termasuklah coklat kurma, kopi kurma, strawberi, teh ais, keladi, jagung dan sebagainya," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Fariq berkata, pemberian air percuma itu bukan bertujuan memberi saingan kepada peniaga kerana lokasi agihan jauh dari bazar Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lokasi utama adalah di Bandar Meru Raya selain empat lokasi lain sekitar Ipoh berdasarkan permintaan penyumbang atau komuniti.

Jelasnya, setiap hari dianggarkan kira-kira 200 hingga 400 orang mendapat manfaat daripada program tersebut.

"Ramai sebenarnya orang yang nak infak. Tahun lepas sahaja kita terima sumbangan untuk 200 balang, tahun ini kita dah dapat penyumbang untuk 100 balang air.

"Satu balang air bernilai RM180 namun inisiatif yang saya usahakan ini boleh disertai semua orang dengan infak serendah RM1 untuk turut sama," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh satu hingga satu setengah jam air selesai diagihkan kepada orang ramai

Jelas Mohd Fariq, hebahan mengenai pemberian air percuma itu dibuat menerusi Facebooknya serta ditularkan melalui aplikasi WhatsApp.

Selain air, terdapat juga individu yang meletakkan sumbangan lain seperti bubur lambuk untuk diberikan kepada orang ramai.

Mohd Fariq turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk bersama-sama di dalam program tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!