Siti Dhia Batrisyia ditemui orang awam di Sri Rampai

Noor Dellhan berkata siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan apa yang berlaku sepanjang kehilangan kanak-kanak terbabit.
Noor Dellhan berkata siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan apa yang berlaku sepanjang kehilangan kanak-kanak terbabit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Perumahan Awam Sri Selangor, Jalan San Peng di sini, sejak Selasa lalu ditemui dalam keadaan selamat, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun itu ditemui oleh orang awam di Sri Rampai di sini, kira-kira jam 2.20 pagi.

“Sebelum ini, kita mendapat maklumat yang menyatakan kanak-kanak itu berada di sekitar Sri Rampai.

"Susulan maklumat itu, kita berjumpa dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk melakukan pencarian di kawasan berkenaan kira-kira jam 1 pagi tadi," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Noor Dellhan berkata, pihaknya kemudian dihubungi ibu mangsa memaklumkan ada orang awam yang membuat pencarian menemui kanak-kanak berkenaan merayau bersendirian di lokasi terbabit.

"Kanak-kanak itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan ketika ditemui. Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan apa yang berlaku sepanjang kehilangan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, seramai lapan saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang dan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan sedang dijalankan termasuk menunggu laporan pemeriksaan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ibu mangsa, Syarifah Rosfazila Syed Mohd Fazili, 41, berkata, keluarganya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari Siti Dhia Batrisyia

"Dengan rasa rendah hatinya, kami sekeluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua, hanya ALLAH dapat membalas segalanya," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis merakam keterangan lima individu berhubung kehilangan Siti Dhia Batrisyia.

Noor Dellhan dilaporkan berkata, lima individu terbabit terdiri daripada rakan-rakan dan ahli keluarga kanak-kanak itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28