Waktu kerja fleksibel kakitangan wanita berat sebelah

Siranjeev Ram.
Siranjeev Ram.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung waktu bekerja fleksibel secara eksklusif bagi kakitangan awam khususnya wanita adalah berat sebelah dan gagal mencerminkan realiti masyarakat moden.

Pengasas Malaysian Unity Matters, Siranjeev Ram berkata, perspektif tersebut mengabaikan tanggungjawab perkongsian penjagaan anak-anak antara suami dan isteri.

“Kaum lelaki juga memainkan peranan penting dalam penjagaan anak serta bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Cadangan beliau mengenai perkara tersebut seolah-olah meletakkan tugas penjagaan anak-anak dan tugas rumah hanya kepada wanita.

“Ia menghidupkan stereotaip usang selain merosakkan usaha bagi mencapai kesamaan gender dalam tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Anwar berkata, sekiranya cadangan pelaksanaan waktu kerja fleksibel diterima, ia menyaksikan Malaysia menjadi negara pertama di dunia memperkenal waktu kerja sedemikian kepada penjawat awam wanita.

Tambah Siranjeev, kajian menunjukkan bahawa peraturan bekerja fleksibel yang tidak mengenal jantina memberi manfaat kepada kedua-dua jantina.

Ujarnya, ia membawa kepada peningkatan kepuasan kerja, produktiviti dan kadar retensi.

Artikel Berkaitan:

“Adalah penting untuk mengiktiraf kesetaraan gender di tempat kerja memerlukan dasar yang inklusif dan mengambil kira keperluan pelbagai bagi semua pekerja tanpa mengira jantina.

“Dengan itu, kerajaan dapat mencipta persekitaran kerja lebih sokongan dan adil yang memperdayakan semua kakitangan awam untuk keseimbangan tanggungjawab profesional dan peribadi mereka dengan berkesan,” jelasnya.