Tempat merokok: DBKL sedia kerjasama dengan KPKT

587828
587828
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung cadangan bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, usaha yang ditunjukkan oleh KPKT bagi pelaksanaan tersebut menunjukkan bahawa hak perokok di negara ini tetap diambil kira walaupun tabiat itu mendatangkan masalah kesihatan.

Menurutnya, pembinaan kawasan merokok di tempat awam itu hanya akan dibenarkan dengan syarat lokasinya perlu berada di tempat yang bersesuaian.

"Apa yang dilakukan KPKT ini menunjukkan mereka menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengambil kira hak perokok.

"Walaupun kita memahami merokok itu membahayakan kesihatan tapi kita tetap benarkan dengan syarat ia harus di tempat yang sesuai selari dengan garis panduan KKM," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan kepada Badan Bertindak Pasar Borong Kuala Lumpur yang berlangsung di Pekarangan Pejabat DBKL Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian itu akan memperuntukkan RM1 juta kepada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi membina kawasan khas merokok di tempat awam.

ARTIKEL BERKAITAN: RM1 juta kepada PBT bina kawasan khas merokok di tempat awam

Beliau berkata, sebanyak RM5,000 akan diperuntukkan kepada PBT yang mengemukakan permohonan kepada kementerian selepas mengenal pasti lokasi pembinaannya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Khalid berkata, pihaknya juga telah berbincang bersama Datuk Bandar DBKL dan mengarahkan agar PBT itu dapat berbelanja sebaiknya pada tahun ini bagi memastikan impak positif dalam sesuatu pelaksanaan.

"Tahun ini kita (DBKL) akan berbelanja secara istimewa untuk melaksanakan perkara positif, namun ia tetap perlu dilaksanakan dengan berhemah dan tersasar," katanya.