PATI dikesan pulang ke negara asal untuk beraya guna laluan tikus

Maritim Malaysia mengesan terdapat cubaan sindiket membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal melalui laluan tikus di Selangor.(Gambar hiasan)
Maritim Malaysia mengesan terdapat cubaan sindiket membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal melalui laluan tikus di Selangor.(Gambar hiasan)
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan terdapat cubaan sindiket membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal melalui laluan tikus di Selangor.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, sindiket mengambil kesempatan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menurutnya, cabaran selepas perayaan pula adalah PATI terbabit akan cuba masuk semula ke dalam negara.

"Maritim Selangor ada mengesan cubaan menyeludup keluar PATI itu pada awal puasa tempoh hari.

"Kita sedang meningkatkan tinjauan dan perisikan selain mengenal pasti kawasan panas di bahagian utara Selangor. Pemilik bot tempatan diingatkan untuk tidak bersekongkol dengan sindiket sebaliknya menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat," katanya kepada pemberita semasa Program Menyantuni Warga Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk di sini pada Jumaat.

Abdul Muhaimin (kanan) memberi taklimat kepada penumpang kapal KM Bagan Datuk pada Jumaat. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Abdul Muhaimin (kanan) memberi taklimat kepada penumpang kapal KM Bagan Datuk pada Jumaat. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

Turut hadir Pengarah MKN Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan.

Mengulas lanjut, Abdul Muhaimin berkata, pihaknya percaya sindiket menggunakan bot nelayan dan bot laju untuk membawa PATI ke tengah laut sebelum dipindahkan ke kapal lain yang membawa mereka pulang ke negara asal.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menegaskan, keselamatan perairan Selangor sentiasa dipantau dan dijaga pasukan keselamatan negara dalam memastikan isu pencerobohan dan penyeludupan dapat dibendung.

Katanya, kerjasama erat antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Maritim Malaysia perlu dipertingkat selain perkongsian maklumat serta risikan agar kes jenayah di laut dipatahkan.

Abdul Muhaimin mewakili Maritim Selangor menerima sumbangan bingkisan raya daripada Pengarah MKN Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan pada Jumaat. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Abdul Muhaimin mewakili Maritim Selangor menerima sumbangan bingkisan raya daripada Pengarah MKN Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan pada Jumaat. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Kerjasama strategik melalui operasi bersepadu bersama agensi sahabat tahun lalu mencatatkan kejayaan 64 kes dengan nilai rampasan bernilai RM224,171.

"Awal Februari lalu, Maritim Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah disyaki jenis syabu seberat 40.37 kilogram bernilai RM1.32 juta," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!