Dr Mahathir pangku jawatan Menteri Pendidikan hanya sementara

Khalid Samad - Foto Bernama
Khalid Samad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memangku jawatan Menteri Pendidikan untuk tempoh sementara waktu sehingga pengganti jawatan berkenaan dikenal pasti.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, setiap pihak perlu memahami bahawa jawatan menteri di dalam barisan Kabinet kerajaan pada hari ini ditentukan berdasarkan kuota parti masing-masing.

Menurut beliau, bagi jawatan menteri pendidikan, kuota tersebut diperuntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan kepimpinan parti itu mempunyai hak menentukan pengganti jawatan berkenaan.

"Ini bukannya satu perkara yang mana Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak bersuara (mengenai Dr Mahathir sandang jawatan berkenaan) dan lain-lain tapi oleh kerana PH memahami bahawa kuota itu adalah milik Bersatu, jadi terpulang pada mereka untuk mencari pengganti jawatan tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan kepada Badan Bertindak Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melepaskan jawatan berkenaan selepas dikatakan mendapat nasihat daripada Perdana Menteri untuk mengosongkan kerusi itu.

Susulan itu, kekosongan ditinggalkan Maszlee bagi jawatan berkenaan disandang oleh Dr Mahathir buat sementara waktu sehingga lantikan baharu dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: PM pangku jawatan Menteri Pendidikan

Bagaimanapun, sesetengah pihak mempertikai tindakan Dr Mahathir memegang jawatan itu berikutan ia dikatakan melanggar manifesto PH sebelum ini

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya yakin Dr Mahathir tidak akan memegang jawatan itu untuk tempoh yang lama dan proses pemilihan calon menteri baharu juga dijangka sedang dijalankan oleh kepimpinan parti Bersatu pada masa kini.

"Timing (tempoh pelantikan menteri baharu) ini saya rasa tak lama. Terpulang kepada parti Bersatu dan Dr Mahathir dalam membuat keputusan tentang perkara ini," katanya.