Denda RM1,000, penjara enam bulan jika ditangkap tidak berpuasa

Pemeriksaan turut dijalankan ke atas premis makanan yang menjalankan perniagaan lebih awal pada Ramadan ini. Foto JAIPk. Gambar kecil: Harith Fadzilah
Pemeriksaan turut dijalankan ke atas premis makanan yang menjalankan perniagaan lebih awal pada Ramadan ini. Foto JAIPk. Gambar kecil: Harith Fadzilah
A
A
A

IPOH - Umat Islam di Perak yang didapati tidak berpuasa tanpa sebarang halangan atau keuzuran sepanjang Ramadan boleh dikenakan denda RM1,000 dan hukuman penjara enam bulan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, tindakan seumpama itu boleh diambil mengikut Seksyen 24, Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, Bahagian Penguatkuasaan JAIPk telah menggerakkan operasi tidak menghormati Ramadan di seluruh negeri bagi memastikan umat Islam memuliakan bulan suci ini.

"Operasi ini bukan hanya tertumpu kepada individu Muslim yang makan dan minum secara terang-terangan, tetapi juga peniaga dan pemilik premis yang menjual makanan.

"Sekiranya ditahan, mereka akan dituduh di mahkamah dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan perundangan yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Operasi tidak menghormati Ramadan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JAIPk di sekitar Chemor, Ipoh pada Khamis. Foto JAIPk
Operasi tidak menghormati Ramadan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JAIPk di sekitar Chemor, Ipoh pada Khamis. Foto JAIPk

Beliau berkata, hukuman sama juga terpakai kepada individu Islam yang dikesan merokok secara terang-terangan di siang hari.

"Penguatkuasa Agama JAIPk boleh mengambil tindakan ke atas mereka berpandukan peruntukan yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai operasi sepanjang Ramadan ini, Harith Fadzilah berkata, jabatan itu telah mengenal pasti beberapa lokasi panas yang sering dijadikan tumpuan kaki ponteng puasa yang dikenali 'geng plastik hitam'.

Katanya, antara lokasi berkenaan adalah kedai-kedai makan yang beroperasi bermula dari waktu pagi khususnya kedai makan nasi kandar.

"JAIPk juga menerima banyak maklumat berkaitan lokasi-lokasi panas ini daripada masyarakat yang prihatin. Semua premis dan kawasan ini telah berada dalam pemantauan penguat kuasa.

"Pemilik premis makanan khususnya yang dimiliki Muslim dinasihatkan memulakan jualan tidak terlalu awal kerana dikhuatiri memberi ruang kepada orang Islam untuk tidak berpuasa," katanya.

Tahun lepas, JAIPk merekodkan tiga kes membabitkan tangkapan ke atas orang Islam yang tidak berpuasa.