Tiada tulisan 'non halal' minyak masak peket - KPDN

Pegawai KPDN membuat pemeriksaan bungkusan minyak masak di sebuah premis syarikat pembungkusan di Balakong pada Isnin lalu.
Pegawai KPDN membuat pemeriksaan bungkusan minyak masak di sebuah premis syarikat pembungkusan di Balakong pada Isnin lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan tiada tulisan 'non halal' ditemui pada peket minyak masak di sebuah premis syarikat pembungkusan di Balakong seperti video yang tular di media sosial.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pemeriksaan fizikal telah dilakukan ke atas premis itu pada Isnin lalu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan pada bungkusan minyak masak mendapati tiada logo halal dan penandaan halal digunakan.

"Semakan juga mendapati tiada tulisan “non halal' ditemui di mana-mana paket minyak masak yang siap dibungkus," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zuhairi memberitahu, tindakan pihak syarikat tidak meletakkan logo halal pada bungkusan minyak masak disebabkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat telah tamat tempoh.

Beliau memberitahu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga sebelum ini mengambil tindakan kes di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 ke atas syarikat pembungkusan itu kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, syarikat pembungkusan itu memperoleh bekalan daripada pengilang minyak masak yang sah dan berlesen.

Sehubungan itu, tegas beliau, KPDN Selangor ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabit kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan2011 [Akta 730] boleh didenda tidak lebih RM200,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM500,000 bagi pertubuhan atau perbadanan.

"Bagi bukan pertubuhan atau perbadanan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," jelas beliau.

Sebelum ini tular berhubung minyak masak peket bersubsidi 'non halal' yang didakwa banyak dijual di kedai runcit sekali gus menggusarkan umat Islam yang menggunakannya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!