Semakan kehakiman: Rayuan Daim, keluarga didengar 9 Mei

Daim yang berkerusi roda, ditemani isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen pada 29 Januari lalu. Foto Bernama
Daim yang berkerusi roda, ditemani isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen pada 29 Januari lalu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis menetapkan 9 Mei untuk mendengar rayuan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin ketika dihubungi Bernama, mengesahkan bahawa tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin hari ini.

Horng Bin hadir mewakili Peguam Negara pada prosiding pengurusan kes hari ini, manakala peguam Alicia Gomez mewakili Daim dan keluarga.

Daim dan keluarganya memfailkan rayuan pada 5 Mac, sehari selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa Daim dan keluarganya gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.

Daim, 85, isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, dan empat anak mereka - Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25 - serta Ilham Tower Sdn Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 10 Jan.

Mereka menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai responden.

Menerusi permohonan itu, pemohon mendakwa pada 30 Disember 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Artikel Berkaitan:

Daim berkata, Kertas Pandora ialah fail sulit yang bocor pada 2021 yang mendedahkan nama-nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan kesemua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.

Oleh itu, mereka memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan para pegawainya membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap pemohon dari Februari 2023 sehingga kini serta membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28