Gajah rempuh pagar elektrik ceroboh kebun sawit

Ahmad Shazril Hisyam menunjukkan keadaan pagar yang rosak setelah dirempuh kawanan gajah di kebun kelapa sawit di Kampung Seri Bayas, di Setiu.
Ahmad Shazril Hisyam menunjukkan keadaan pagar yang rosak setelah dirempuh kawanan gajah di kebun kelapa sawit di Kampung Seri Bayas, di Setiu.
A
A
A

SETIU - Sekumpulan gajah liar dikesan merempuh pagar elektrik yang dipasang untuk melindungi tanaman kelapa sawit diusahakan penduduk di Kampung Seri Bayas, di sini.

Kejadian itu disedari pemilik kebun berkenaan apabila ke lokasi tersebut untuk melakukan aktiviti rutin pada pagi Rabu.

Seorang pekebun, Ahmad Shazril Hisyam Mohamad, 33, berkata, dia terkejut apabila melihat sebahagian pagar elektrik yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu tumbang dipercayai dirempuh haiwan liar berkenaan.

Antara kerosakan tanaman yang berlaku disebabkan serangan gajah liar.
Antara kerosakan tanaman yang berlaku disebabkan serangan gajah liar.

"Saya percaya kerosakan ni berpunca dari serangan gajah liar. Masuk kali ni dah kali kedua pagar ini dirosakkan dalam tempoh seminggu.

"Bila jadi macam ni ratusan pokok kelapa sawit pekebun rosak dan kita terpaksa tanggung rugi ribuan ringgit," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Seri Bayas di sini pada Khamis.

Menurut Ahmad Shazril, gajah merupakan haiwan yang bijak dan tahu untuk mengenal pasti situasi bahaya dan tidak bahaya.

"Kita tahu pagar yang mengandungi arus elektrik amat berbahaya jika terkena pada badan dan boleh menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

"Namun, berdasarkan apa yang kita perhatikan haiwan ini akan menolak tiang pagar elektrik pada bahagian yang tidak mempunyai arus bagi menumbangkan pagar untuk membuat laluan masuk ke kebun," ujarnya.

Ahmad Shazril memberitahu, dia yakin kerosakan itu berpunca daripada perbuatan gajah liar kerana pernah melihat dua ekor gajah liar sedang mandi di anak sungai berhampiran dengan kebun miliknya pada Isnin lalu.

Seorang lagi pekebun, Mohd Riduan Yusoff, 39 berkata, dia menanggung kerugian kira-kira RM6,000 selepas pokok kelapa sawit dan pagar elektrik yang dipasang sejak setahun lalu rosak.

"Saya pasang pagar elektrik bagi mengelakkan serangan haiwan perosak seperti babi tetapi voltannya amat rendah jika dibandingkan dengan pagar yang dipasang oleh pihak Perhilitan," katanya.

Senasib dengan Mohd Riduan, Mohamad Mat Nor, 63 pula berkata, dia terpaksa mengupah pekerja untuk berjaga di kawasan kebun pada waktu malam bagi mengelak kebunnya itu rosak dimusnahkan gajah liar.

"Jika ada orang yang menjaga kebun dapat mengurangkan risiko serangan gajah yang menceroboh mencari makan dengan memusnahkan tanaman.

"Sebab itu kita harap pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian yang berkesan untuk mengatasi masalah gajah yang membelenggu kami sejak sekian lama," katanya.

Antara pokok kelapa sawit yang belum matang dan mengeluarkan buah rosak dipercayai diserang gajah liar.
Antara pokok kelapa sawit yang belum matang dan mengeluarkan buah rosak dipercayai diserang gajah liar.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, siasatan dan pemantauan berhubung aduan kerosakan pagar dan tanaman itu telah dilakukan.

Katanya, gajah-gajah berkenaan akan dihalau ke habitat semulajadi yang berdekatan.

"Jika masalah ini berulang lagi, kita akan ambil tindakan lain yang sewajarnya," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28