Along paksa serah kereta, tukar hak milik

Ramli menunjukkan hasil rampasan bagi membantu siasatan.
Ramli menunjukkan hasil rampasan bagi membantu siasatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi terbaharu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen (along) dengan menukar hak milik kereta peminjam secara paksa dalam serbuan di sebuah pejabat di Sungai Besi, di sini, pada 11 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 14 individu ditahan.

"Dalam serbuan itu, kita merampas sembilan unit komputer riba, 11 unit telefon bimbit, tujuh set dokumen perjanjian pelanggan berserta anak kunci dan satu set dokumen pelanggan serta tiga cop syarikat," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Ramli berkata, hasil pemeriksaan mendapati sindiket tersebut beroperasi di bawah sebuah syarikat dipercayai menjalankan aktiviti along dengan mempromosikan melalui Facebook.

"Peminjam dikehendaki menyerahkan kenderaan mereka kepada syarikat terbabit sebagai jaminan.

“Proses ini memerlukan pelanggan membayar yuran tambahan seperti bayaran penukaran hak milik kenderaan dan pemasangan peralatan sistem kedudukan global (GPS)," katanya.

Beliau berkata, sebelum menerima wang pinjaman, mangsa perlu menandatangani surat persetujuan penjualan kenderaan dan perjanjian sewaan.

“Sekiranya pinjaman gagal dilunaskan, pemilikan kenderaan akan ditukar kepada syarikat milik sindiket tanpa pengetahuan peminjam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ramli berkata, kegiatan tersebut terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa apabila kereta Toyota Vellfire ditukar hak milik selepas membuat pinjaman daripada sindiket terbabit.

"Mangsa membuat pinjaman sebanyak RM20,000 namun hanya menerima jumlah wang kira-kira RM16,000 daripada sindiket terbabit selain keretanya ditukar hak milik.

“Kesemua tangkapan ditahan reman sehingga hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) dan 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya.