Kilang getah punca bau busuk - JAS Kedah

JAS Kedah melakukan siasatan di sebuah kilang susulan aduan bau busuk dari penduduk sekitar Bukit Banyan dan Bintang Maya Residence, di Sungai Petani.
JAS Kedah melakukan siasatan di sebuah kilang susulan aduan bau busuk dari penduduk sekitar Bukit Banyan dan Bintang Maya Residence, di Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah melakukan siasatan berhubung aduan daripada orang ramai berhubung bau kurang menyenangkan yang mengganggu kehidupan penduduk di sekitar Bukit Banyan dan Bintang Maya Residence, di sini.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, melalui aduan diterima penduduk, bau busuk itu sering berlaku pada lewat malam hingga awal pagi.

Beliau memaklumkan, hasil pemantauan dan siasatan bermula jam 11 malam pada Rabu hingga jam 4 pagi Khamis mendapati bau busuk berpunca dari kilang getah asli mentah yang beroperasi selama 24 jam.

"Kilang tersebut didapati menghasilkan produk Standard Malaysian Rubber 10 (SMR 10) dan Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20).

"Siasatan terperinci ke atas kilang bagi memastikan semua alat kawalan pencemaran udara berada pada keadaan optimum juga telah dijalankan pada hari yang sama dengan kehadiran orang yang berwibawa (OYB) pihak kilang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Susulan itu, beliau memaklumkan, JAS Kedah mengeluarkan notis arahan kepada syarikat getah asli mentah bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sharifah Zakiah berkata, notis arahan dikeluarkan supaya pihak kilang menambah baik alat kawalan pencemaran udara dan meningkatkan pematuhan kepada akta tersebut.

"Premis terbabit diberi tempoh masa dua minggu untuk melakukan pembaikan, dan sekiranya pembaikan perlu masa lebih lama maka mereka perlu kemukakan plan pembaikan dan masa yang wajar,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, JAS berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru orang ramai bekerjasama untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan http://eaduan.doe.gov.my.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28