Pusat jagaan anak di masjid, ibu bapa tenang bertarawih

Suasana dalam ruangan Program Tarbiyatul Aulad di Masjid Wilayah Persekutuan.
Suasana dalam ruangan Program Tarbiyatul Aulad di Masjid Wilayah Persekutuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyediaan khidmat jagaan kanak-kanak di bawah Program Tarbiyatul Aulad di Masjid Wilayah Persekutuan membolehkan ibu bapa menunaikan solat tarawih dengan tenang tanpa risau akan keselamatan anak-anak.

Kemudahan itu beroperasi bermula 11 Mac lalu sehingga 7 April depan yang dibuka setiap hari bermula jam 8 hingga 10 malam.

Menerusi kemudahan itu, ibu bapa hanya perlu memastikan anak-anak dihantar dalam keadaan bersih dan sihat serta disediakan bekalan keperluan seperti lampin pakai buang, susu, air serta makanan ringan.

Hanya RM10 dikenakan caj kepada ibu bapa yang gagal mengambil anak-anak mereka tepat jam 10 malam.

Menjengah di tempat jagaan kanak-kanak itu, antara tarikan disediakan adalah tempat permainan selain meja bagi membolehkan petugas mengadakan aktiviti bersama anak-anak jagaan.

Turut ditawarkan beberapa reruai menjual alat permainan dan makanan ringan sebagai pilihan anak-anak membeli makanan sementara menunggu ibu bapa mereka menunaikan solat.

Sementara itu, rata-rata pengguna memuji inisiatif disediakan masjid berkenaan yang berharap kemudahan tersebut turut diperluaskan ke masjid lain.

Malah ada di antaranya berminat untuk menjadi sukarelawan.

Artikel Berkaitan:

Antara permainan yang disediakan di Program Tarbiyatul Aulad di Masjid Wilayah Persekutuan sepanjang Ramadan.
Antara permainan yang disediakan di Program Tarbiyatul Aulad di Masjid Wilayah Persekutuan sepanjang Ramadan.

Seorang pekerja swasta, Siti Baizura Mohd Shafiee, 37, berkata, kemudahan itu memberi peluang kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk fokus menunaikan solat tarawih.

"Kadang kala apabila ada anak kecil, keinginan untuk solat tarawih secara berjemaah di masjid terpaksa dilupakan seketika kerana isu penjagaan selain bimbang anak-anak akan membuat bising hingga mengganggu jemaah lain.

"Dengan adanya kemudahan ini, ia sangat membantu selain dapat mendidik anak-anak mendekati masjid sejak kecil," katanya.

Seorang lagi orang awam, Mohd Hizami Mohd Hanip, 40 berkata, program tersebut sangat baik untuk dilaksanakan dan mencadangkan diperluaskan ke masjid lain.

"Mungkin kerajaan, syarikat korporat atau NGO boleh bekerjasama dengan masjid untuk memperbanyak lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini pada Ramadan.

"Ini kerana kebanyakan NGO dan syarikat korporat banyak tertumpu kepada majlis buka puasa dan sumbangan Aidilfitri jadi mungkin boleh dipelbagaikan CSR dalam bentuk ini pula," katanya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memaklumkan, terdapat beberapa masjid di Wilayah Persekutuan turut menyediakan kemudahan sama antaranya Masjid At Taqwa TTDI, Masjid UTM Jalan Semarak, Masjid Usamah bin Zaid Wangsa Maju, Masjid Al-Imam Al-Ghazali Menjalara Kepong, Masjid Al-Zakirin Taman Wilayah Selayang dan Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi.

Menurutnya, antara kemudahan disediakan di Masjid Wilayah Persekutuan sepanjang Ramadan ini adalah seperti ruang solat kanak-kanak, khidmat jagaan sementara, Tarbiyatul Aulad serta ruang santai keluarga.

"Pada pandangan kami, institusi masjid dan surau seharusnya menjadi tempat yang mesra dan selesa kepada kanak-kanak agar jiwa mereka sentiasa dekat dengan pusat ibadah tersebut.

"Ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil juga dapat berpeluang menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid tanpa rasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak dan gangguan kepada jemaah yang lain, " katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28