Sultan Sharafuddin perkenan terima zakat perniagaan RM10.8 juta

Sultan Sharafuddin (tiga dari kanan) ketika menerima zakat perniagaan daripada Saipolyazan (empat dari kiri) pada Rabu.
Sultan Sharafuddin (tiga dari kanan) ketika menerima zakat perniagaan daripada Saipolyazan (empat dari kiri) pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM10,790,760 daripada empat syarikat korporat dalam satu program serahan zakat sempena Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat pada Rabu.

Antara syarikat yang terlibat adalah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan anak-anak syarikat menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM5,057,000 diwakili oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fariz Hasaan.

Ia kemudian diikuti oleh Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM2,820,000.

Manakala, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Saipolyazan Md Yusop menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,913,760 dan Pertubuhan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menyerahkan zakat perniagaan RM1,000,000.

Baginda diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika majlis tersebut.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 118 orang asnaf fakir, 237 orang asnaf miskin dan 75 orang asnaf mualaf dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM215,000.

Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin (dua dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan hari raya pada Rabu.
Sultan Sharafuddin (dua dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan hari raya pada Rabu.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin berkenan melancarkan sambutan Jubli Mutiara Ulang Tahun Ke-30 Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

LZS dalam kenyataan berkata, sambutan itu bagi meraikan penubuhan institusi tersebut selama tiga dekad sebagai peneraju dalam pengurusan zakat di Selangor.

"Dalam tempoh 30 tahun beroperasi, LZS telah meningkatkan kutipan zakat di negeri Selangor daripada RM15.9 juta kepada RM1.07 bilion pada tahun 2022, bersamaan dengan kadar 17.7 peratus peningkatan tahunan.

"Manakala pengagihan zakat yang dilaksanakan sepanjang 30 tahun turut meningkat daripada RM16.3 juta kepada RM1.05 bilion pada tahun 2022 bersamaan dengan kadar 18 peratus peningkatan tahunan," kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang serta Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28