Sultan Sharafuddin puji sumbangan Goodyear kepada Selangor

Sultan Sharafuddin memuji syarikat pengeluar tayar global Goodyear atas sumbangannya kepada ekonomi serta sektor automotif sejak 52 tahun lepas. Foto Facebook Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin memuji syarikat pengeluar tayar global Goodyear atas sumbangannya kepada ekonomi serta sektor automotif sejak 52 tahun lepas. Foto Facebook Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji syarikat pengeluar tayar global Goodyear atas sumbangannya kepada ekonomi Selangor dan Malaysia, serta sektor automotif sejak 52 tahun lepas.

Baginda bertitah demikian berikutan pengumuman penutupan kilang Goodyear di Shah Alam mulai Jun tahun ini, selepas beroperasi selama lima dekad.

Dalam hantaran di Facebook Selangor Royal Office pada Khamis, baginda bertitah sebagai salah sebuah syarikat pengeluar tayar terkemuka dunia, Goodyear Malaysia telah mencapai prestasi cemerlang dari segi jualan mahupun teknologi.

Sultan Sharafuddin bertitah, syarikat itu menjadi kilang tayar Goodyear pertama yang diperakui untuk piawaian ISO 9002 pada 1992, sebelum memperoleh pensijilan QS9000 dan ISO14001 pada 20022, diikuti dengan pensijilan ISO/TS 16949 pada 2003.

Titah baginda, Goodyear adalah jenama tayar yang dipasang pada kereta keluaran tempatan pertama Malaysia, Proton Saga pada 1985 selain mendapat penghormatan menjadi tayar terpilih untuk Ford Model T pada 1908, kereta mampu milik keluaran besar-besaran pertama di dunia.

Menurut hantaran itu, Sultan Selangor semasa ekspedisi jalan raya pada 1997 dan 2007 dalam Peking To Paris Challenge dari Beijing ke Paris dan Rally Road to Mandalay 2015, turut menggunakan tayar Goodyear pada Ford Model B 1932, Chevrolet Fangio Coupe 1940 dan Jaguar XK140 FHC 1956.

"Sepanjang 16,000km dan 8,400km perjalanan merentasi pelbagai bentuk muka bumi termasuk padang pasir, salji dan jalan berbatu, DYMM Tuanku bersama pemandu Datuk Richard Curtis tidak mengalami kejadian tayar pancit dengan Goodyear," menurut hantaran itu, yang turut berkongsi beberapa gambar daripada ekspedisi jalan raya berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: