Papar, Sabah diisytihar kawasan bencana kemarau - JPBD

Kenyataan yang tular di media sosial sejak Rabu.
Kenyataan yang tular di media sosial sejak Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Daerah Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau bermula hari ini berikutan krisis bekalan air akibat kemarau yang melanda kawasan tersebut sejak beberapa minggu lalu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar dalam kenyataan memaklumkan, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan dan maklumat yang diperoleh di lapangan yang diterima agensi dalam jawatankuasa tersebut.

Tindakan telah diambil oleh JPBD Papar untuk menangani masalah bekalan air di daerah itu antara lain dengan pengagihan air secara berjadual kepada penduduk menggunakan lori tangki air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Majlis Daerah Beaufort dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

JANS Papar akan memberi keutamaan kepada hospital, rumah ibadat, rumah warga tua dan sekolah, Majlis Daerah Papar memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan perumahan manakala pejabat Parlimen Papar membekalkan air di kawasan perkampungan.

Sementara itu Pengerusi JPBD Papar, Mohd Fuad Abdullah yang juga Pegawai Daerah Papar ketika dihubungi meminta semua penduduk supaya bertenang dan memahami pengisytiharan itu adalah untuk bencana kemarau dan bukan pengisytiharan darurat.

Beliau berkata, pengisytiharan, yang dilakukan mengikut peraturan sedia ada, itu perlu dilakukan bagi memastikan tindakan segera dan berkesan dapat diambil bagi membantu penduduk yang terkesan akibat bencana kemarau itu.

"JPBD Papar akan pastikan bekalan air dihantar menggunakan lori tangki air kepada penduduk dan mereka yang memerlukan," katanya yang turut meminta mereka yang terjejas untuk menghubungi JPBD Papar untuk bantuan lanjut. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: