Notis gangguan bekalan air di tiga daerah di Sabah mengelirukan - Shahelmey

Shahelmey ketika ditemui pemberita di LRA Limbahau, Papar.
Shahelmey ketika ditemui pemberita di LRA Limbahau, Papar.
A
A
A

PAPAR - Terdapat kekeliruan berhubung notis gangguan bekalan air selama 10 hari membabitkan Loji Rawatan Air (LRA) Moyog yang dikeluarkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), pada Rabu.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, notis terbabit dilihat mengelirukan serta mengundang kemarahan penduduk yang terkesan.

"Saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Air awal pagi tadi kerana mendapati notis tersebut kurang jelas maksudnya dan menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat, malah netizen serta media arus perdana telah mula mengeluarkan berita mengenai 10 hari gangguan air.

"Saya telah semak dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Jetama pagi tadi bahawa kerja-kerja penyelenggaraan clarifier itu mesti dibuat, sekiranya tidak dibuat ia mungkin akan menyebabkan gangguan yang lebih kritikal pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Limbahau, di sini pada Khamis.

Shahelmey (dua dari kiri) melawat LRA Limbahau, Papar.
Shahelmey (dua dari kiri) melawat LRA Limbahau, Papar.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengakui kerja penyelenggaraan tersebut akan menyebabkan pengurangan air pada LRA Moyog namun kekurangan itu hanya melibatkan dua juta liter sehari (mld).

"Kerja penyelenggaraan tersebut akan melibatkan pengurangan air di LRA Moyog sebanyak dua mld daripada 189 mld turun kepada 187 mld.

"Namun Jetama komited untuk menambah dua mld daripada LRA Moyog diganti dengan LRA Kasigui. LRA Kasigui yang sekarang beroperasi pada 53 mld boleh tambah dua mld lagi untuk menjadikan 55 mld.

Artikel Berkaitan:

"Jadi gangguan kerja penyelenggaraan sebanyak dua mld LRA Moyog akan diganti oleh LRA Kasigui," katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Putatan itu sekali lagi memohon maaf atas kekeliruan tersebut dan telah meminta JANS menarik balik notis yang mengelirukan itu.

"Mesej pertama itu betul kemungkinan berlaku gangguan air disebabkan kerja penyelenggaraan dan kerja penyelenggaraan ini pula perlu dilakukan bagi mengelak kejadian lebih kritikal di masa akan datang sekiranya ia tidak dilaksanakan.

"Tetapi gangguan 10 hari itu yang membuatkan rakyat panik, itu adalah 'misinterpretasi'," katanya.

JANS pada Rabu telah mengeluarkan notis berhubung pengurangan sementara pengeluaran air terawat di LRA Moyog disebabkan kerja penyelenggaraan di loji tersebut.

Tarikh gangguan bekalan air ialah selama 10 hari iaitu bermula 7 hingga 16 Mac membabitkan kawasan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!