Warga Thailand ditahan miliki dadah

Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan ketulan ganja yang ditemui di sebuah rumah dalam serbuan pada Selasa.
Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan ketulan ganja yang ditemui di sebuah rumah dalam serbuan pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam operasi berasingan Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, warga Thailand berusia 36 tahun itu ditahan ketika serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kota di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan jam 7.10 malam di rumah itu menemui satu plastik mengandungi 8.35 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM25,885.

"Suspek dikatakan seorang penganggur tetapi kita percaya dia bekerja di Malaysia dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau memberitahu, jika terlepas dadah berkenaan boleh digunakan untuk lebih 8,000 penagih dadah.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau tetapi ketika serbuan lelaki itu positif dadah.

Sementara itu kata Muhamad Zaki, penahanan kedua ke atas dua lelaki berusia 39 dan 50 tahun dilakukan di Jambatan Pasir Mas-Salor pula melibatkan rampasan dadah jenis heroin.

Tambah beliau, ketika tangkapan pada jam 1.45 tengah hari itu menemui satu plastik di tangan salah seorang suspek yang di dalamnya mengandungi lima botol plastik berisi dadah jenis heroin seberat 22.62 gram (g) dianggarkan bernilai RM10,000.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan lanjut di badan pula menemui satu lagi botol berisi heroin anggaran berat 3.69g dengan nilai kira-kira RM2,000," katanya.

Muhamad Zaki turut memberitahu, selain itu polis menemui 10 biji pil yaba dan nilai keseluruhan rampasan ialah RM14,210 berdasarkan harga pasaran.

Selain itu katanya lagi, polis turut merampas motosikal yang ditunggang suspek dan kedua-dua mereka juga didapati positif morfin.

"Kesemua suspek akan direman sehingga 19 Mac dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28