Khai Bahar pilihan Inteam untuk Rabiatul Adawiyah 2024

Inteam memilih untuk kembali berkolaboratif bersama Khai Bahar.
Inteam memilih untuk kembali berkolaboratif bersama Khai Bahar.
A
A
A

SELEPAS 23 tahun penerbitannya, kumpulan Inteam memilih untuk mempopularkan kembali lagu Rabiatul Adawiyah.

Lebih istimewa, Inteam kembali bersama penyanyi, Khai Bahar dalam lagu berjudul Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24).

Keserasian yang dibina ketika bekerjasama menerusi 'remake' Setanggi Syurga, empat tahun lalu menjadi faktor utama Inteam bersepakat memilih Khai semula.

"Kami melihat kerjasama tersebut sangat serasi dan mendapat sambutan hangat dari peminat serta suara Khai juga sesuai dengan lagu-lagu Inteam," ujar ketua kumpulan Inteam, Syah.

Bagi Khai pula, sejak kecil lagi, dia adalah peminat lagu-lagu Inteam dan peluang kolaborasi ini mengimbau nostalgia kerana Rabiatul Adawiyah adalah lagu kesukaan arwah ibunya,

"Saya memang meminati lagu-lagu Inteam dan pernah menyanyikan lagu-lagu mereka secara 'cover' di media sosial.

"Lebih istimewa lagi, lagu Rabiatul Adawiyah ini adalah di antara lagu yang sangat disukai oleh arwah ibu saya dan pastinya ia menggamit nostalgia yg indah," jelasya.

Ditanya mengapa memilih untuk tampil dengan lagu lama berbanding single terkini, Syah berkata, Inteam sudah tampil dengan 10 lagu baharu sejak pandemik lalu seperti Labbaikallah, Love of God, I Love Muhammad, Sollu Alan Nabi, Gapura, Selimut Kasih dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

"Cuma sudah menjadi kebiasaan bagi kami menjelang Ramadan untuk menyanyikan semula lagu lama dan berduet dengan artis arus perdana.

"Ini kerana lagu-lagu lama ini ada unsur nostalgia dan kami cuba memperkenalkan semula lagu-lagu berkualiti terdahulu kepada generasi sekarang yang mungkin masih belum dilahirkan ketika lagu ini dilancarkan dahulu," katanya.

Untuk rekod, lagu Rabiatul Adawiyah pernah dimuatkan di dalam album Inteam berjudul Impian Kasih yang dilancarkan pada tahun 2001.

Lagu ciptaan Munif Ahmad dari Kumpulan Hijjaz dan lirik oleh Abdul Kahar itu mengisahkan tentang serikandi sufi bernama Rabiatul Adawiyah.

Tambah Syah, lagu ini sangat bermakna untuk dihayati lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan kerana ia menceritakan kisah perjalanan seorang hamba Allah iaitu serikandi yang mencari Tuhan dan akhirnya hanya meletakkan cinta ALLAH di dalam hati mengatasi segala-galanya.

"Susunan muzik oleh Chaan kali ini lebih segar dan mengikut arus semasa namun tidak sesekali menghilangkan keaslian dan penghayatan asal lagu ini.

"Durasi lagu juga dipendekkan sedikit dengan sebahagian besar lagu dinyanyikan Khai Bahar dan sebahagian lagi oleh Inteam sendiri," jelasnya.

Lagu Rabiatul Adawiyah 2024 dilancarkan pada 8 Mac 2024 dan kini berada di seluruh platform digital seperti Spotify, Deezer, Apple music, Kkbox termasuk rangkaian Youtube Inteam Digital.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28