Bahan mentah mahal, peniaga bazar terpaksa naik harga RM2

Menu ayam bakar yang dijual pada harga RM30 seekor di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar.
Menu ayam bakar yang dijual pada harga RM30 seekor di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kebanyakan peniaga bazar Ramadan di sini mengakui kenaikan harga barang memberi tekanan kepada mereka untuk menetapkan harga makanan yang munasabah kepada pelanggan.

Nur Idayu Ab Rahim, 32, berkata, mereka terpaksa mencari inisiatif lain bagi mendepani masalah peningkatan harga bahan basah bagi menyediakan juadah yang mampu dibeli pada harga rendah.

Menurutnya, setakat ini harga makanan bagi menu singgang tulang dan singgang daging dijual antara RM12 hingga RM15 mengikut set dan boleh dinikmati oleh lebih seorang pelanggan bagi setiap satu juadah.

"Harga bahan-bahan mentah buat masa sekarang ini meningkat. Sebut saja bulan puasa memang semua barang akan naik harga.

"Sebab itu sebelum ini saya jual RM10 sebekas, tetapi untuk bulan puasa ini saya terpaksa naikkan RM2 kerana sudah tidak mampu menampung kos.

Nur Idayu
Nur Idayu

"Untung pun sikit, maknanya saya kena jual dalam kuantiti yang banyak untuk dapatkan untung besar sikit sebab bulan puasa ini semua orang tahu kos bahan mentah akan naik," katanya yang berniaga di Dataran Shahbandar di sini.

Jelas Nur Idayu, dia juga terpaksa menggunakan daging dan tulang import kerana bahan mentah yang digunakan daripada keluaran tempatan agak mahal.

Artikel Berkaitan:

Walaupun begitu, dia memberi jaminan kualiti dan rasa juadah yang dihasilkan memuaskan hati pelanggan.

"Kalau saya guna daging tempatan, harga untuk sebekas sahaja boleh mencecah RM20. Macam mana nak jual kalau mahal macam tu. Sebekas singgang tulang dan singgang daging saya jual sekarang pada harga RM12 dan boleh dimakan oleh dua hingga tiga orang.

Harga bagi daging dan tulang singgang yang dijual di bazar Ramadan terpaksa dinaikkan RM2 ekoran kenaikan harga bahan basah.
Harga bagi daging dan tulang singgang yang dijual di bazar Ramadan terpaksa dinaikkan RM2 ekoran kenaikan harga bahan basah.

"Kita juga ada singgang daging atau tulang dalam bentuk set yang turut mengandungi nasi, telur dadar, sambal kicap dan sambal belacan yang dijual RM15," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nina Azman, 29, berkata, harga bagi juadah ayam bakar yang dijual terpaksa dinaikkan RM2 kepada RM28 seekor kerana perlu menampung kos yang semakin meningkat.

"Bahan-bahan asas lain yang digunakan dalam ramuan perapan ayam juga naik terutama bawang. Jadi kami sebagai peniaga tak dapat untuk bertahan dengan harga lama," ujarnya.

Selain itu, tinjauan bagi menu ayam bakar lain mendapati ia dijual pada harga RM30 seekor dan RM15 untuk saiz potongan separuh.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28