MPP tuntut penjelasan KPM tamat kontrak NC UMT

No Image Caption
A
A
A

KUALA NERUS - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menuntut penjelasan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan keputusan memendekkan tempoh perkhidmatan Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar sebagai Naib Canselor UMT.

MPP UMT dalam satu kenyataan berkata, keputusan memendekkan dan penamatan perkhidmatan Dr Nor Aieni sebelum tarikh rasmi yang telah dipersetujui bersama iaitu pada 13 April 2020 adalah suatu tindakan yang tiada keadilan, bermotifkan agenda tidak baik dan berkepentingan peribadi.

"MPP UMT dengan ini menuntut penjelasan ke atas tindakan terburu-buru sehingga membawa kepada keputusan sedemikian.

"Kami juga menuntut agar Dr Nor Aieni diberi keadilan sewajarnya serta dikembalikan semula jawatan sebagai Naib Canselor UMT bagi menerajui semula kecemerlangan dan keunggulan UMT.

"Ia sekali gus membuktikan kerajaan pada hari ini merupakan kerajaan yang telus, bersih dan mengamalkan pemerintahan yang adil," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam keputusannya telah memendekkan perkhidmatan Dr Nor Aieni sebagai Naib Canselor UMT berakhir pada 30 Disember 2019.

MPP UMT berkata, Naib Canselor UMT itu juga telah 'diarahkan bercuti' tanpa sebarang alasan yang kukuh dan tidak berasas.

"Kami dengan ini menggesa agar Dr Nor Aieni dipertimbangkan pemberian kontrak baharu perkhidmatan sebagai Naib Canselor UMT agar dapat terus menyumbang bakti dan memberikan perkhidmatan yang lebih tinggi mutunya kepada UMT dan KPM.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan beliau dalam melonjakkan kedudukan UMT dalam QS World University Rankings, membawa strategi pengantarabangsaan UMT merentas sempadan bersama rakan-rakan industri dan universiti maritim terkemuka dunia serta menggiatkan peningkatan perkhidmatan kebajikan berkualiti kepada kakitangan dan mahasiswa UMT adalah antara sumbangan-sumbangan perkhidmatan yang telah beliau berikan.

"MPP UMT dengan ini sekali lagi menjulang amalan demokrasi dan menuntut dasar keterbukaan KPM yang mengangkat amalan kebebasan akademik, kebebasan bersuara serta menuntut penjelasan terhadap perkara-perkara yang telah diputuskan oleh Menteri Pendidikan Malaysia terutamanya ke atas penjelasan terhadap pemendekkan dan penamatan tempoh perkhidmatan Naib Canselor UMT yang dibuat secara mengejut ini," katanya.

Jelasnya, MPP UMT percaya bahawa pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan dasar menghormati kuasa Autonomi Universiti Awam di Malaysia dan seluruh warganya sentiasa menjadi agenda utama KPM.