Gaji tinggi angkat martabat graduan TVET

Kini lebih daripada 500 institusi TVET awam yang menawarkan pelbagai program TVET bagi semua peringkat pendidikan.
Kini lebih daripada 500 institusi TVET awam yang menawarkan pelbagai program TVET bagi semua peringkat pendidikan.
A
A
A
ISU Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kembali hangat apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mencadangkan graduan bidang berkenaan dibayar gaji melebihi RM4,000.

Apa itu TVET? TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu.

Tujuan TVET diperkenalkan adalah bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.

Menurut Ahmad Zahid, langkah menetapkan tanda aras gaji itu menjadi salah satu usaha memantapkan sektor TVET di Malaysia yang menjadi pilihan kedua buat anak muda untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi.

Ini kerana, industri TVET sering dikaitkan dengan pelajar yang tercicir dalam bidang akademik atau tidak mempunyai kelulusan akademi yang cemerlang.

Begitupun, dalam suasana ekonomi pada hari ini, penulis yakin bidang TVET pasti kembali diminati pelajar. Tambahan pula kerajaan bersama pihak-pihak yang terlibat giat memberi pendedahan mengenai TVET. Pastinya, tawaran gaji lebih RM4,000 satu tarikan utama.

Bahkan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menjadi Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun lalu mendedahkan seramai 29,000 graduan belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2022.

Beliau berkata, jumlah itu berdasarkan data rasmi sistem kajian pengesanan graduan yang dikeluarkan kementerian.

Katanya lagi, jumlah graduan yang belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2021 ialah 41,467 orang atau 14.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, penularan Covid-19 pada tahun 2020 telah mencetus lonjakan pada sektor perkhidmatan atas talian di Malaysia dengan berlaku peningkatan jumlah pekerja e-hailing dan p-hailing.

Malah, statistik terbaharu 2023 menunjukkan ramai lepasan SPM memilih untuk ceburi bidang e-hailing dan p-hailing secara separa masa atau sepenuh masa berbanding pekerjaan korporat.

Bidang ini menarik minat anak muda kerana ia memberi kebebasan kepada pekerja untuk bekerja tanpa majikan perlu mengajikannya sepenuh masa yang dibayar ganjaran selepas menyelesaikan tugasan.

Bagaimanapun, bidang ini tidak lepas daripada mempunyai masalah tersendiri. Antaranya, penunggang p-hailing merungut berikutan terpaksa berhadapan dengan upah yang rendah.

Keadaan itu memaksa mereka membuat tuntutan kepada pihak syarikat untuk mengembalikan upah penghantar kepada yang asal berbanding sekarang hanya RM1 ke RM3.50.

Melihat kepada dua situasi di atas, penawaran gaji melebihi RM4,000 mampu menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka mendalam ilmu dalam bidang TVET.

Untuk makluman, dua institusi TVET awam telah ditubuhkan pada tahun 1964 untuk menyediakan latihan kemahiran kepada belia iaitu Institut Kemahiran Belia dan Negara (IKBN) Dusun Tua dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur.

Kini lebih daripada 500 institusi TVET awam yang menawarkan pelbagai program TVET bagi semua peringkat pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan seramai 100,000 pelatih TVET bakal dilahirkan. Menurutnya, usaha tersebut disumbangkan menerusi penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta dalam mempertingkat keupayaan dan kualiti TVET negara melibatkan syarikat berkaitan kerajaan.

"Dengan sasaran gaji lebih tinggi daripada yang diperoleh sekarang iaitu sebanyak RM3,000. Sekarang yang terlibat secara aktif adalah Petronas, Sime Darby, MRCB, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia.

"Kita anggap ini permulaan kecil yang harus diperluaskan. Anak-anak daripada keluarga Felda harus diberi peluang dan keadilan dan jangan dibiarkan tersisih dan terpinggir," katanya.

Justeru, ibu bapa atau mereka yang berminat menceburi bidang ini, jangan risau kerana lulusan program TVET mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik.

Kelebihan ini berpotensi untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik minat majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada lulusan TVET.

*Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Berita Online

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!