Pemain bola sepak Palestin mangsa terbaharu Israel

Kehilangan Barakat dianggap sebagai suatu kehilangan cukup besar buat Palestin.
Kehilangan Barakat dianggap sebagai suatu kehilangan cukup besar buat Palestin.
A
A
A

KHAN YUNIS - Palestin kehilangan seorang lagi legenda bola sepak mereka akibat kekejaman tentera Israel apabila terbaharu, bekas penyerang berbisa negara itu, Mohammed Barakat turut terkorban.

Digelar 'Legenda Khan Younis', Barakat yang kini mewakili kelab Palestin, Al Ahly Gaza terbunuh apabila rejim Zionis mengebom rumah keluarganya di Khan Yunis.

Menurut laporan Al Jazeera, kejadian itu berlaku pada awal pagi Isnin iaitu hari pertama ketika umat Islam menyambut bulan suci Ramadan.

Kematian Barakat dianggap sebagai suatu kehilangan cukup besar buat Palestin dan diakui sendiri oleh bekas rakan sepasukannya, Khalid Abu Habel.

“Saya pernah beraksi bersamanya. Barakat boleh dianggap sebagai seorang pemain yang sangat pantas dan bijak. Dia seorang yang hebat dan penjaring gol yang dahsyat.

“Di luar padang, Barakat menunjukkan sisi beliau sebagai seseorang yang cukup baik dan peramah. Beliau cukup disayangi semua orang,” kata Khalid.

Barakat dilabel seorang perwira yang dijulang di Gaza dan dianggap antara penyerang terbaik ketika mewakili skuad kebangsaan Palestin.

Barakat juga merupakan salah seorang tonggak utama kelab Al Ahly Gaza yang merupakan sebuah kelab tempatan di Palestin.

Artikel Berkaitan:

Pada usia 39 tahun, Barakat telah merekodkan 114 gol dan diakui ramai masyarakat setempat dengan gelaran 'Legenda Khan Younis' atas kehebatannya sebagai pemain bola sepak.

Sebelum ini, media melaporkan sekurang-kurangnya 85 atlet Palestin terbunuh dalam serangan tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat antara 7 Oktober dan 6 Disember tahun lalu.

Menurut Persatuan Bola Sepak Palestin, mangsa yang maut terdiri daripada 55 pemain bola sepak dan 30 atlet dalam pelbagai sukan lain. - Agensi