Ramadan: EFB sediakan kotak makanan percuma di Mesir, Gaza

EFB telah menghantar lebih daripada 7,000 tan bekalan makanan ke Gaza.Foto Xinhua
EFB telah menghantar lebih daripada 7,000 tan bekalan makanan ke Gaza.Foto Xinhua
A
A
A

KAHERAH - Pekerja dan sukarelawan dengan organisasi bukan untung Egyptian Food Bank (EFB) bertungkus lumus untuk menyediakan kotak makanan percuma bagi golongan yang tidak bernasib baik di Mesir dan Semenanjung Gaza, dengan umat Islam di sini mula berpuasa pada Isnin.

Dengan slogan 'Makanan: Asas Kehidupan', dikelilingi trak dan foklif untuk memuatkan dan menghantar kotak-kotak makanan, ibu pejabat EFB setinggi lima tingkat itu menerima sumbangan tertinggi sejak 20 tahun lepas.

"Kami menyediakan bekalan kepada kira-kira 3,700 organisasi berasaskan komuniti di seluruh dunia, dengan hampir lima juta golongan miskin berdaftar," kata Pengarah Sektor Rangkaian Bekalan EFB, Ibrahim Shaheen sambil menambah organisasi itu mempunyai 120 pekerja khusus di dalam pembungkusan dan gudang, sementara jumlah keseluruhan pekerja kira-kira 1,000 orang.

Kami menyediakan kotak yang dinamakan 'Kegembiraan Ramadan’ mengandungi pelbagai produk makanan termasuk kekacang, beras, gula dan makaroni sementara item lain adalah seperti kurma kering, keju, susu, minyak masak dan lain-lain,” katanya.

Mohamed Gamal Taha, pengurus gudang berusia 25 tahun di sebuah syarikat tenaga dan menjadi sukarelawan dengan EFB sejak 2019 telah menubuhkan pasukannya dianggotai kira-kira 150 sukarelawan.

"Pernah sekali saya melihat kotak EFB diedarkan di kawasan kejiranan saya. Ia membuatkan saya gembira untuk melihat kotak-kotak saya sediakan untuk sampai kepada mereka yang memerlukan dan ini menggalakkan saya untuk menambah pasukan sukarelawan saya,” pemuda itu memberitahu Xinhua.

"Kami berusaha bersungguh-sungguh sehingga kotak-kotak berkenaan sampai di Gaza," katanya.

EFB ialah anggota National Alliance for Civil Development Work (NACDW), penyedia utama bantuan kemanusian ke Gaza dengan menyeberang sempadan Rafah.

Artikel Berkaitan:

Beberapa trak di luar bangunan EFB diselubungi sepanduk hijau dengan slogan 'Untuk Saudara Kami di Palestin'.

"Sehingga sekarang, EFB telah menghantar lebih daripada 7,000 tan bekalan makanan ke Gaza,'’ kata Ketua Pegawai Eksekutif EFB, Mohsen Sarhan,” menjelaskan keganasan Israel di Gaza sebagai satu tragedi.

Sarhan berkata, derma merupakan sumber pembiayaan utama EFB. "Lebih daripada 95 peratus derma yang kami terima datang dari rakyat Mesir.

"Kami mengeluarkan 50,000 ke 60,000 kotak makanan setiap hari,” Ketua Pegawai Bank Makanan itu memberitahu Xinhua, sambil menambah bank makanan itu sedang mencari "keseimbangan antara tugas asas kami membantu rakyat Mesir, yang merupakan misi utama kami dan tugas kami membantu jiran kami (di Gaza) yang menderita daripada serangan dan kesakitan yang dahsyat,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28