Tiada kes 30 orang diserang buaya di Forest City - CGPV

Tangkap layar video tular yang memaparkan perbualan dua lelaki tempatan dan warga China mendakwa terdapat buaya di kawasan pantai Forest City, Iskandar Puteri.
Tangkap layar video tular yang memaparkan perbualan dua lelaki tempatan dan warga China mendakwa terdapat buaya di kawasan pantai Forest City, Iskandar Puteri.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Country Garden Pacific View Sdn Bhd (CGPV) menafikan dakwaan tular dalam media sosial buaya menyerang 20 hingga 30 orang termasuk mengakibatkan kecederaan dan kematian di kawasan pantai di Forest City di sini.

Pemaju hartanah antarabangsa itu dalam satu kenyataan memaklumkan, dakwaan dibuat menerusi video penerangan berhubung buaya yang dikeluarkan blogger Douyin dan Xiaohongshu adalah tidak berasas sama sekali.

CGPV menyifatkan hantaran video terbabit sebagai berniat jahat yang mengundang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, menjatuhkan reputasi syarikat serta mengganggu operasi perniagaan.

"Sejak beroperasi selama lapan tahun, Forest City tidak pernah menerima sebarang aduan serangan, kecederaan mahupun kematian yang diakibatkan oleh reptilia tersebut.

"Tiada juga laporan polis tentang insiden yang disebutkan hantaran media sosial tersebut di Balai Polis Tanjung Kupang.

"Satu laporan polis telah dibuat oleh wakil syarikat dan perkara tersebut kini dalam siasatan pihak polis," menurut kenyataan media terbabit.

Menurut CGPV lagi, pihaknya berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Pihanya menggesa semua pengguna media sosial dan pencipta kandungan (content creator) serta pempengaruh untuk menyemak sumber maklumat mereka serta berhati-hati sebelum membuat hantaran dalam media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Seseorang pengguna media sosial tidak seharusnya menyebarkan maklumat yang tidak sahih, tidak berasas dan berniat jahat sekiranya tidak mahu berdepan implikasi dari segi undang-undang," katanya.

Dalam sebuah video tular berdurasi 47 saat memaparkan perbualan dua lelaki berbaju hitam dan merah dalam bahasa Mandarin.

Difahamkan lelaki berbaju hitam merupakan rakyat tempatan dan lelaki berbaju merah adalah warganegara China yang bertanyakan mengapa ada papan tanda buaya di tepi kawasan pantai.

Lelaki berbaju hitam menerangkan di kawasan berkenaan terdapat hingga 20 atau 30 kes orang dimakan buaya dan menceritakan terdapat kanak-kanak yang tiba-tiba hilang dekat pantai dimakan reptilia terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28