Selisih faham punca juruwang hamil ditumbuk pelanggan

Laporan Sinar Online mengenai seorang juruwang yang sedang hamil ditumbuk seorang pelanggan dalam kejadian di sebuah pasar raya.
Laporan Sinar Online mengenai seorang juruwang yang sedang hamil ditumbuk seorang pelanggan dalam kejadian di sebuah pasar raya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perselisihan faham merupakan punca seorang juruwang yang sedang hamil ditumbuk seorang pelanggan wanita dalam kejadian di sebuah pasar raya di Southkey di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan mendapati pelanggan wanita terbabit tidak berpuas hati semasa berada di kaunter kerana menunggu agak lama untuk membatalkan pembelian satu barang yang dibelinya.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 25 tahun mendakwa suspek menumbuk mukanya sebelum juruwang berkenaan membuat laporan di Balai Polis Majidee jam 6.32 petang pada hari kejadian.

"Suspek turut membuat laporan di Balai Polis Majidee pada jam 9.14 malam Ahad untuk siasatan lanjut. Kejadian ini kemudian tular dalam media sosial.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mengesahkan menerima satu video yang tular itu oleh penama Zuriani Mahmood pada jam 11.19 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut katanya, boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.

Dalam kejadian pada jam 3.17 petang itu, mangsa yang berkongsi kejadian itu dalam Facebook miliknya atas nama Zuriani Mahmood, berkata, kejadian berlaku semasa suspek membuat pembayaran dan wanita tersebut mahu memulangkan satu barang yang dibelinya namun dia meminta pelanggan terbabit menunggu kerana pembelian itu sudah masuk ke dalam sistem.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kata Zuriani, pelanggan wanita tersebut dengan tiba-tiba memarahinya dengan nada tinggi dan selepas pembayaran dibuat telah menumbuk mukanya sehingga mengakibatkan bengkak.

Dakwanya, tumbukan tersebut menyebabkan bahagian bawah mata sebelah kiri bengkak sebelum membuat laporan polis.

"Report dah dibuat, tunggu tindakkan dari polis je. Maruah aku tercalar ya sebagai seorang 'cashier' bila 'cust' (pelanggan) buat macam ini depan ramai orang. Sedangkan itu salah sendiri.

"Kalau setakat gaduh mulut, boleh terima lagi. Tapi kau siapa untuk naik tangan dekat muka aku!!! Aku sertakan gambar dan 'cctv cust'.

"Aku tak tahu apa salah aku sedangkan aku dah terangkan, tapi kau tetiba melenting.

"Aku memang takkan maafkan orang macam ini ya! Aku tengah mengandung, kau sentuh-sentuh aku. Aku takkan tarik report ya, aku sumpah kau," tulis Zuriani dalam Facebook miliknya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28