SMUDA 60 tahun jadi pilihan pelajar luar Kelantan

SMUDA mendapat perhatian ibu bapa dari luar Kelantan sejak 60 tahun lalu
SMUDA mendapat perhatian ibu bapa dari luar Kelantan sejak 60 tahun lalu
A
A
A

KOTA BHARU - Sekolah Menengah Ugama Darul Anuar (SMUDA), Pulau Melaka merupakan sebuah sekolah agama yang menggabungkan kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Kurikulum Azhari dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan yang terbaru Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekolah yang diasaskan sejak 60 tahun lalu di tanah waqaf Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menyediakan pengajian untuk pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Zaimah Mohamed, pelajar sekolah itu bukan sahaja dari Kelantan malah mendapat perhatian ibu bapa dari beberapa negeri lain.

"Kemudahan asrama putera dan puteri yang selesa serta lokasinya yang hampir dengan stesen bas ekspres dan lapangan terbang antara faktor mereka menempatkan anak mereka di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, sekolah itu hanya terletak sembilan kilometer (km) dari pusat bandar Kota Bharu dan 11 km dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra serta tiga minit ke stesen bas Ekspres Perdana Teluk Mesira.

Zaimah memberitahu, SMUDA masih membuka peluang kepada 48 pelajar Tingkatan Satu berikutan kapasitinya seramai 120 orang.

"Pihak sekolah mengalu-alukan ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka ke SMUDA termasuk di Tingkatan Dua, Tiga, Empat dan Lima kerana masih terdapat kekosongan. Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi pejabat SMUDA di talian 09-7654848 dan 0164347848.

"Kita bersyukur kerana dapat mencapai keputusan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara pelajar terbaik SPM SMUDA ialah Haris Rashdan (9A), Najihah Sles (8A), Wan Tarbawy Wan Darzikshfi (6A), Nik Ahmad Azim bin Nik Azmin (6A), Najidah Sles (6A) dan beberapa pelajar yang lain.

Tambah beliau, YIK juga telah menempatkan dua guru luar negara berkelulusan sarjana bagi memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar selain terlibat dalam menjayakan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang telah dirangka khusus oleh pihak YIK.

"Antara program Pembinaan Insan Melalui Tarbiyah (Pintar) seperti usrah, qiamullail, dan tadarus al-Quran setiap pagi, selain kokurikulum dan sukan," katanya.

SMUDA turut aktif dalam aktiviti badan berunifom, persatuan dan kelab, ko-akademik serta sukan dari peringkat sekolah sehingga peringkat negeri.