Tutup warung sebulan kerana banjir

Mohd Muhafizi memberi makan ikan yang diternak di sekeliling warungnya di Sungai Pengkalan Penambang, Kampung Beladau Kepong di Kuala Terengganu.
Mohd Muhafizi memberi makan ikan yang diternak di sekeliling warungnya di Sungai Pengkalan Penambang, Kampung Beladau Kepong di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga tidak patah semangat mengusahakan perniagaan warung atas air di Sungai Pengkalang Penambang, Kampung Beladau Kepong di sini walaupun saban tahun berdepan cabaran bencana alam.

Pengusaha Warung Terapung Ayoh Pa, Mohd Muhafizi Mustafa, 36, berkata, warung yang bermodalkan RM80,000 itu telah dilanda banjir sebanyak tiga kali sejak ia beroperasi sepenuhnya pada 2021.

Mohd Muhafizi
Mohd Muhafizi

Menurutnya, perniagaannya terpaksa ditutup setiap kali musim banjir kerana kenaikan paras air dan perlu memikirkan keselamatan pelanggan.

Tambahnya, setiap kali musim banjir melanda, operasi warungnya akan ditutup antara tiga minggu hingga sebulan.

"Dalam tempoh tersebut, kami tak boleh berniaga sebab air akan naik dan kawasan pintu masuk menghala ke warung juga dinaiki air.

"Biasanya kalau banjir kami tidaklah berdepan kerugian besar kerana hanya perlu membersihkan bahagian lantai warung yang berselut selepas air surut.

"Alatan perniagaan juga dalam keadaan selamat sebab dah bersedia lebih awal setiap kali musim tengkujuh, cuma perlu ambil masa sedikit untuk bersihkan kesan banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Muhafizi yang juga penternak ikan sangkar, dia pernah berdepan kerugian kira-kira RM10,000 disebabkan ikan sangkar peliharaannya mati akibat bencana banjir.

"Bagi saya, itu semua adalah cabaran dan asam garam yang perlu dihadapi dalam dunia perniagaan, seterusnya membantu mematangkan diri.

"Disebabkan minat dan berniaga adalah sumber pencarian, saya kuatkan semangat, terus kekal mengusahakan Warung Terapung Ayoh Pa serta perniagaan ikan sangkar ini," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Bina berperingkat ketika PKP

Menceritakan lebih lanjut permulaaan perniagaan warungnya itu, Mohd Muhafizi berkata, warung tersebut dibina secara berperingkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Menurutnya, dia memutuskan untuk membina warung tersebut setelah berdepan dengan kesukaran memasarkan ternakan ikan sangkar berikutan pandemik Covid-19.

"Waktu PKP memang susah nak pasarkan ikan sangkar. Dari situlah saya mula terfikir kaedah terbaik untuk memasarkan dan menjual ikan tersebut.

"Idea untuk membina warung ini sebenarnya daripada ayah saya, Mustafa Ahmad, 65 atau lebih dikenali sebagai Ayoh Pa.

"Saya ambil masa selama enam bulan untuk bina warung ini yang boleh memuatkan kira-kira 70 pelanggan pada satu-satu masa," katanya yang menjalankan perniagaan tersebut bersama tiga adik-beradik lain.

Mohd Muhafizi berkata, antara keunikan Warung Terapung Ayoh Pa ialah pelanggan boleh memilih sendiri ikan segar yang akan dimasak dari sangkar peliharaan.

Ikan tilapia bakar antara menu istimewa yang disediakan untuk pelanggan di Warung Terapung Ayoh Pa.
Ikan tilapia bakar antara menu istimewa yang disediakan untuk pelanggan di Warung Terapung Ayoh Pa.

"Di sekeliling warung ini kita ada menternak ikan tilapia, patin, baung dan keli. Hidangan paling popular di warung ini pula ialah ikan tilapia bakar. Menu ini orang Terengganu panggil yang 'sohor' di sini.

"Selain itu, kita juga ada masakan panas, resipi masakan tiga rasa, masam manis, mamprik au, steam, tomyam, roti canai, roti bakar dan telur goyang," katanya.

Tambahnya lagi, warung berkenaan beroperasi bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam pada Khamis hingga Selasa dan akan ditutup pada Rabu.

Terdapat dua waktu operasi pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu iaitu jam 7 pagi hingga 12 tengah hari serta jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28