'Buffer zone’ mampu kekang jenayah penyeludupan sempadan

Muhamad Zaki - Foto: Bernama
Muhamad Zaki - Foto: Bernama
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan sudah membentangkan cadangan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan ‘buffer zone’ di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi membanteras sebarang jenayah penyeludupan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ‘buffer zone’ atau zon penampan itu juga diyakini akan lebih memudahkan penguatkuasaan anggota keselamatan, berkawal dan menjalankan tugas-tugas mengekang jenayah di sempadan.

Menurut beliau, sempadan kedua-dua negara besar dan panjang melibatkan sempadan sungai sejauh 99 kilometer (km) dan darat sekitar 27km, tidak termasuk sempadan lautan.

“Saya sudah pernah mencadangkan ‘buffer zone’ dibina di sempadan sungai Golok dan KDN akan membawa perkara ini untuk dibincangan dalam mesyuarat di peringkat yang lebih tinggi.

“‘Buffer zone’ yang dilengkapi pencahayaan, kamera litar tertutup dan penggera yang berbunyi apabila sesiapa sahaja melaluinya, membolehkan jenayah rentas sempadan dikekang walaupun bukanlah 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Burung Candik dan Ayam Serama Piala Ketua Polis Kelantan 2024 yang disertai 972 peserta termasuk Loas dan Thailand, di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, di sini pada Sabtu.

Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Best of The Best kategori burung candik.
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Best of The Best kategori burung candik.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki turut memberi respon berkait dua pangkalan haram yang dirobohkan di Tumpat pada Khamis lalu yang berada di bawah kuasa KDN dengan melibatkan binaan oleh penduduk di atas tanah milik kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini sebenarnya sudah dibincangkan oleh kerajaan, negeri dan juga pihak berkuasa tempatan untuk mengelakkan daripada jeti-jeti ini dijadikan tempat aktiviti haram termasuk penyeludupan dadah, senjata api atau migran.

“Jadi, itu satu salah satu cara jika jeti berada di tanah kerajaan manakala kalau di tanah persendirian, akan ada cara lain,” katanya.

Beliau juga menekankan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya penduduk di sempadan amat penting supaya tidak terlibat dengan jenayah penyeludupan kerana boleh merosakkan negeri sekali gus negara.

“Berapa pun bilangan pangkalan haram, itu tidak penting, yang penting, jeti sedia ada jangan digunakan untuk menjalankan aktiviti haram.

“Perbuatan itu sendiri nanti akan memusnahkan negara contohnya ‘mini dhaka’ yang sebut-sebut akibat pembolosan pendatang asing tanpa izin ke negara ini,” katanya.

Sebelum ini, cadangan membina ‘buffer zone’ oleh Muhamad Zaki tersebut pernah dilaporkan akhbar pada tahun 2022.