Sekurang-kurangnya kita tahu mana intan, mana kaca - Hamzah

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tujuh pemimpin pembangkang yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir ke Majlis Penutup Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) di sini, pada Sabtu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau yakin wakil rakyat yang hadir hanya terdiri daripada mereka yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan PN setelah episod pengkhianatan yang dilakukan oleh enam ahli Parlimen serta seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut.

Menurutnya, apa yang berlaku amat mengecewakan namun tidak melemahkan PN untuk terus berjuang melawan sebarang godaan bersifat peribadi.

"Setiap panji yang berada di bawah PN wajib ada roh perjuangan dalam diri dan hati masing-masing.

"Tetapi sejarah mengajar kita bahawa perjuangan itu penuh onak dan pancaroba. Ramai yang tersungkur di tengah jalan, hanya mereka yang teguh imannya, cekal hatinya, istiqamah jiwanya sahaja yang mampu menyalakan obor perjuangan suci demi agama dan bangsa negara ini.

"Tetapi ALLAH SWT hadirkan sesuatu perkara itu ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya kita kenal mana intan, mana kaca mana yang ikhlas...," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Wakil Rakyat PN di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Susulan itu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi ahli Parlimen dan ADUN yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada 6 Mac, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Dalam pada itu, Hamzah mengingatkan pemimpin PN yang lain agar berwaspada dengan gelombang sokongan rakyat yang mempunyai pasang dan surutnya.

Katanya, rakyat kini bukan hanya menilai kerajaan tetapi juga menilai pemimpin pembangkang dalam memainkan peranan untuk membawa suara mereka.

"Jangan anggap pengundi akan terus bersama kita.

"Sudah ramai dalam kalangan kita boleh dianggap sebagai ahli politik bermusim," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28