Pegawai kanan 'belasah' pegawai: Siasatan lihat semua faktor, kata Adly

Adly (dua dari kanan) melawat reruai agensi kerajaan pada Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah di Dataran Keris Alor Gajah pada Sabtu.
Adly (dua dari kanan) melawat reruai agensi kerajaan pada Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah di Dataran Keris Alor Gajah pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Pertahanan akan menjalankan siasatan secara terbuka dan telus berhubung kes seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa salah guna kuasa dalam satu insiden di Sarawak, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, ia termasuk membuat pengasingan kuasa terhadap semua pihak terlibat bagi memastikan tidak wujud campur tangan pihak ketiga dalam kes itu.

Menurutnya, dalam kes berkenaan, keadilan harus diberikan kepada semua pihak termasuk individu yang dituduh dan terdapat proses serta prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam setiap laporan dan aduan diterima berhubung masalah disiplin mahupun salah guna kuasa.

"Kita ada prosesnya dan memang akan ada beberapa pengasingan kuasa itu tapi yang paling penting bagi saya adalah kita harus mencari penyelesaian kepada perkara-perkara yang berbangkit.

"Semua pihak terlibat itu diberi keadilan setimpal dan memang kita tahu bahawa kita agak tegas walaupun Kementerian Pertahanan, memang kita tahu bahawa latihan-latihan kita Itu agak keras tetapi memang kita pun ada hadnya juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah di Dataran Keris Alor Gajah di sini, pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, kementerian itu juga akan melihat semua faktor sepanjang tempoh siasatan agar tiada pihak yang teraniaya.

Pada Khamis media melaporkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanannya di Sarawak, terhadap seorang lagi pegawainya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kenyataan Markas TDM memaklumkan laporan polis telah dibuat oleh mangsa pada Ahad lalu, berikutan kejadian yang didakwa berlaku semasa mangsa sedang menjalani latihan peringkat formasi dan laporan berkenaan telah tular di media.

TDM juga menjelaskan sebagai tindakan, pegawai kanan itu telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.