X

Kindly register in order to view this article
!

Hasrat ziarah cucu tak kesampaian

Mohd Taslim bersama Ain Fazira dan anak mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 448 Lebuhraya Utara Selatan di Sungai Buloh malam tadi.
A
A

SEKINCHAN - "Mak memang berhajat hendak ziarah cucunya di Sepang, namun tak sangka itu perjalanan terakhirnya sebelum dia pergi buat selama-lamanya," kata Akhbar Osman, 50, anak kepada Asiah Mat, 74, yang terkorban dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 448 Lebuhraya Utara Selatan di Sungai Buloh malam tadi.

Selain Asiah, tiga lagi turut terkorban dalam kemalangan itu iaitu anak perempuannya, Ruzi Osman, 54, menantu Ruzi, Ain Fazira Mohd Yazid, 25, dan anak Ain Fazira, Nur Tiara Arisha Muhammad Taslim, berusia 9 bulan.

Pemandu kereta Proton Satria yang juga suami kepada Ain Fazira, Mohamad Taslim Jamsari Mohamad, 31, belum dapat dipastikan namun sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Sungai Buloh (HSB).

Akhbar yang juga anak bongsu enam beradik berkata, sebelum kejadian, ibunya ada memaklumkan ingin mengikut Mohamad Taslim ke Sepang.

Akhbar
Akhbar

"Saya difahamkan Mohamad Taslim ingin bawa ibunya (Ruzi) menjalani pemeriksaan rawatan tonsil dan kebetulan mak hendak ikut ke sana (Sepang).

"Mak kelihatan seronok hendak pergi ke Sepang sebab dapat ziarah cucu perempuannya yang juga kakak kepada Mohamad Taslim, tapi semua itu bertukar menjadi tragedi memilukan," katanya.

Menurut Akhbar, ibunya yang menetap di Parit 12 Sungai Nibong disifatkan seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak selain bersikap peramah dengan jiran tetangga.

"Arwah amat disenangi semua orang dan kehilangannya amat dirasai bukan saja dalam kalangan ahli keluarga, tetapi jiran serta saudara-mara yang mengenalinya," katanya.

Katanya, dia menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas dihubungi seorang anak saudaranya kira-kira jam 1 pagi.

"Luluh hati saya apabila mengetahui mak terkorban dalam kejadian tersebut, bagaimanapun tetap reda dengan ketentuan-NYA," katanya.

Seorang anak saudara Asiah, Samsuddin Ba'an, 42, berkata, dia amat sedih dengan pemergian ibu saudaranya itu lebih-lebih lagi pernah menetap di rumah warga emas itu selama enam tahun.

"Saya sudah anggap arwah mak cik ini macam emak sendiri, tambahan pula pernah tinggal dengannya sejak Tingkatan 1 hingga habis Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

Katanya, dia sering menziarahi Asiah sebulan sekali selepas bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di daerah ini.

"Sepanjang menetap dengannya, arwah seorang ibu saudara yang baik hati dan menjaga saya seperti anaknya sendiri.

"Arwah seorang yang tegas dan amat menitikberatkan soal solat dan dia selalu menegur jika buat silap," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat termasuk bayi maut nahas dua kenderaan


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!