Gaza bagaikan neraka bagi ibu hamil, anak kecil

Kanak-kanak Palestin yang dipindahkan berkumpul untuk menerima makanan di sebuah sekolah kerajaan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.
Kanak-kanak Palestin yang dipindahkan berkumpul untuk menerima makanan di sebuah sekolah kerajaan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tanggal 8 Mac, di saat dunia meraikan Hari Wanita Antarabangsa, wanita di Gaza terus menderita, dihimpit berbagai rintangan ekoran serangan tanpa henti tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza yang kini memasuki bulan kelima.

Menurut perangkaan daripada Kementerian Luar Palestin pada Khamis, seramai 8,900 mangsa daripada keseluruhan angka korban yang kini mencecah lebih 30,000 terdiri kaum wanita manakala 12,750 lagi kanak-kanak.

Seorang penduduk Gaza, Ahmad, 31, menyifatkan keadaan yang dilalui sekarang umpama neraka terutama bagi ibu hamil dan kanak-kanak.

Ahmad berkata, pada Disember lepas, beliau dan isterinya Asma Ahmad yang ketika itu hanya menghitung hari untuk bersalin terpaksa melarikan diri dengan sehelai sepinggang.

Merka terpaksa meninggalkan rumah mereka yang terletak di utara Semenanjung Gaza apabila kawasan perumahan dibedil tentera Zionis Israel.

Mengimbau detik cemas sambil berkongsi detik mencemaskan itu kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Ahmad berkata:

"Saya sangat bimbangkan keselamatan bayi saya. Saya sangka ajal kami sudah tiba”.

Artikel Berkaitan:

Ahmad terpaksa membawa isteri meredah sisa konkrit di tengah kegelapan malam dengan berpandukan cahaya letupan bom sebelum bertemu petugas perubatan dan dibawa ke sebuah sekolah yang menjadi tempat mereka berlindung sehingga sekarang.

Pada malam itu juga isterinya bersalin dan pasukan perubatan bertungkus-lumus membantu proses kelahiran bayi sulungnya dengan bantuan cahaya telefon bimbit masing-masing.

Mereka memotong tali pusat bayi yang diberi nama Faraq itu dengan gunting biasa yang ditemukan di situ dan tanpa disteril.

"Sudahlah larut malam, rejim Zionis pula terus mengganas. Mereka menembak apa saja yang bergerak di jalanan pada waktu itu. Jadi kami tidak dapat membawanya ke hospital,” kata Barra’ Jabir, jururawat yang menyambut kelahiran bayi itu yang kini sudah berusia empat bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 52,000 wanita hamil di Gaza terdedah kepada risiko susulan sistem kesihatan yang lumpuh akibat serangan berterusan Israel.

Bayi dan kanak-kanak juga berdepan risiko kematian ekoran ketiadaan makanan asasi yang mencukupi seperti air dan makanan.

Ibu hamil juga mengalami tekanan perasaan seperti dialami Malak Syubat, 21, yang mencari tempat berlindung di bandar Rafah, selatan Gaza setelah beberapa kali berpindah-randah.

"Saya sangat risau untuk melahirkan anak dalam suasana getir di sini,” katanya yang sedang sarat mengandung.

Serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu mengorbankan 30,717 orang dan menyebabkan 72,156 cedera manakala ribuan yang lain tertimbus di bawah runtuhan bangunan selain kemusnahan teruk kemudahan kritikal termasuk hospital dan kekurangan ubat-ubatan.

Dianggarkan 71 peratus penduduk Semenanjung Gaza kini diancam krisis kebuluran manakala 98 peratus lagi tidak mempunyai makanan yang mencukupi, menurut pertubuhan hak asasi manusia Euro-Mediterranean. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28