Kemarau: Bekalan air di Terengganu masih cukup

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan mengambil langkah intervensi termasuk penjimatan air sekiranya berlaku musim kemarau berpanjangan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan setakat ini bekalan air di empangan negeri masih mencukupi untuk kegunaan rakyat di Terengganu.

"Sehingga kini, kita masih lagi boleh mengendalikan masalah bekalan air cuma jika berlaku kemarau berpanjangan, maka perlu ada langkah intervensi terutama ketika pada bulan Ramadan.

"Jadi apabila nak sampai seminggu sebelum raya tentulah penggunaan air akan bertambah.

"Dalam keadaan kemarau nanti sudah tentu penggunaan air meningkat dan ia akan jejaskan tetapi saya sedang ambil langkah-langkah bagaimana untuk lakukan intervensi termasuk meminta semua pihak berjimat penggunaan air," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sempena Sambutan 30 Tahun Penubuhan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, peniaga-pemiaga yang menjalankan perniagaan di Jambatan Angkatan (drawbridge) diingatkan supaya menjaga kebersihan bagi mengelakkan dari dikenakan tindakan daripada pihak berkuasa.

"Peniaga diminta tidak tinggalkan peralatan-peralatan mereka yang boleh timbulkan pemandangan tidak kemas dan kurang bersih terutama di kawasan drawbridge kerana ia dikunjungi pengunjung dalam dan luar negeri.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan nasihat sudah diberikan kepada mereka namun setelah dilakukan pemeriksaan dan tiada perubahan, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan kepada mereka.

"Kita faham keadaan ekonomi sukar ketika ini beri kesan kepada peniaga namun kita mahu negeri ini berada dalam keadaan cantik dan bersih.

"Jadi jangan tinggalkan sampah merata-rata selain semua pihak diminta memainkan peranan (jaga kebersihan)," ulasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!