PKR persoal kenyataan Abdul Hadi, hapus pencen bertentangan Islam

Razeef Rakimi
Razeef Rakimi
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang mendakwa penghapusan pencen penjawat awam adalah bertentangan dengan Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimi berkata, jika sistem berpencen adalah Islamik, mengapa guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di bawah seliaan Pas tidak diberikan pencen.

Katanya, malah paling menyedihkan guru-guru itu masih dibayar serendah RM500 bergantung kepada yuran dan berbeza mengikut kawasan bandar atau pedalaman.

"Bukan sahaja tidak diberi pencen malah mereka tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa.

"Bukankah ini satu penindasan kepada golongan pendidik yang mana ia tidak Islamik?," ujarnya pada Khamis.

Pada 24 Januari lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan bahawa status pencen penjawat awam sedia ada “diteruskan iaitu tetap dan berpencen” dengan hanya pengambilan baru sahaja akan terlibat dengan dasar baru, dengan perinciannya akan diumumkan kelak oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Tambah Razeef, penjelasan yang Abdul Hadi berikan jelas mengelirukan dan sudah pasti ucapan beliau akan diambil sekerat-sekerat oleh penyokong mereka untuk dijadikan konten Tiktok.

"Sebenarnya cadangan untuk menyemak semula saraan penjawat awam tidak menyentuh penjawat awam sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Hanya pengambilan penjawat awam baharu sahaja diberi kaedah persaraan baharu melalui KWSP menggantikan skim pencen sedia ada dan lebih untung," jelasnya.

Menurut Razeef, Abdul Hadi juga memberikan gambaran seolah caruman KWSP adalah tidak Islamik.

"Sedangkan KWSP juga satu perlindungan persaraan dan memiliki pilihan simpanan syariah yang kini dilihat kompetitif di bawah kerajaan Madani.

"Alangkah lebih baik jika Hadi tidak hanya seperti 'burung tiong' dan 'burung kakak tua' dan hanya tahu bising tetapi bukan sahaja tidak memahami malah tidak melaksanakan apa yang dikata," katanya.