Abdul Hadi beri kerjasama, sejam polis ambil keterangan

Tan Sri Abdul Hadi Awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi kerjasama penuh berhubung siasatan dilakukan pasukan petugas khas polis Bukit Aman berhubung kenyataannya bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan'.

Setiausaha Politik Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, rakaman percakapan berhubung kes itu telah dilakukan oleh dua pegawai polis yang diadakan di Pejabat Agung Pas, dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata, rakaman percakapan Ahli Parlimen Marang itu dilakukan hampir sejam, setelah kedua pegawai polis itu tiba jam 2.19 petang.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, Abdul Hadi telah dikemukakan beberapa soalan oleh pegawai penyiasat dan memberi kerjasama sangat baik sepanjang tempoh rakaman percakapan itu berlangsung.

"Soalan yang diberikan kepada Tan Sri (Abdul Hadi) boleh tahan juga banyaknya dan ada beberapa muka surat.

“Abdul Hadi juga sudah baca kenyataan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri semalam (Isnin) yang mahukan Pasukan Khas 3R (bangsa, agama dan raja) memyiasat perkara ini.

"Apa yang penting, kita beri komitmen sepenuhnya berhubung siasatan ini," katanya ketika ditemui selepas menghantar dua pegawai polis itu ke lobi ibu pejabat Pas, dekat sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, Abdul Hadi kini berada dalam keadaan baik dan beliau ada menyatakan hasrat menghadiri Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, namun terhalang atas faktor kesihatan yang dihadapi ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehari sebelum majlis pembukaan Parlimen itu, kesihatannya tidak berapa baik dan beliau telah dirujuk kepada pihak kesihatan.

Jelas beliau, doktor menyarankan agar beliau berehat dan belum sesuai untuk melakukan perjalanan jauh.

"Oleh sebab itu, kita ada maklum kepada pihak polis Bukit Aman pada hari sama untuk penangguhan kes ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Syahir berkata, Abdul Hadi telah menghantar warkah menjunjung kasih kepada Sultan Selangor pada Isnin.

Kata beliau, warkah menjunjung kasih itu telah diutuskan daripada pihak tuan guru bertarikh 4 Mac kepada Sultan Selangor.

Ditanya mengenai isi kandungan warkah tersebut, kata beliau, biarlah perkara itu menjadi rahsia antara tuan guru dan Tuanku Selangor.

"Mohon kita semua menghormatinya dan mendoakan yang baik-baik sahaja," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!