Malaysian University, Liaoning tentukan juara Piala Vivian May Soars

Malaysian University. Foto Sukan IPT
Malaysian University. Foto Sukan IPT
A
A
A

MALAYSIAN University dan Liaoning Women’s Hockey Team mengesahkan slot perlawanan akhir Piala Vivian May Soars 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu selepas menewaskan lawan masing-masing pada Khamis.

Malaysian University mengesahkan slot perlawanan akhir selepas mengakhiri cabaran Negeri Sembilan dengan agregat 8-2 menerusi kemenangan 4-1 pada separuh akhir pertama dan kedua.

Liaoning Women’s Hockey Team pula yang turun berbekalkan kemenangan 3-0 pada separuh akhir pertama ke atas PDRM Blue Warriors mengekalkan kelebihan tersebut selepas aksi separuh akhir kedua dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan.

Malaysian University yang bertandang ke Stadium Hoki Seremban 2, Negeri Sembilan memecah kebuntuan jaringan minit ke-12 hasil gol padang Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad sebelum Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-28.

Dian Nursyakira Najwa terus melebarkan jurang jaringan buat Malaysian University hasil gol pukulan sudut penalti pada minit ke-38 sebelum Negeri Sembilan bangkit menerusi gol padang Xing Zhen Zhen pada minit ke-44.

Jaringan itu tidak mematahkan semangat Malaysian University apabila menambah satu lagi gol padang Siti Nur Arfah Mohd Nor pada minit ke-55 untuk kemenangan 4-1.

Sementara itu, pengendali Malaysian University, Lailin Abu Hassan menzahirkan rasa syukur atas kemenangan sekali gus membawa pasukannya ke pentas final bagi merealisasikan misi kejuaraan treble musim ini.

“Pemain telah bermain dengan baik perlawanan hari ini dan mengikut perancangan yang telah pasukan tetapkan. Syukur atas kemenangan selesa ini yang membawa kami ke perlawanan akhir.

Artikel Berkaitan:

“Untuk aksi final, Liaoning Women’s HT merupakan lawan yang kuat. Tetapi insya-ALLAH kami ada perancangan yang akan kami caturkan pada aksi final nanti.

“Apa yang saya harapkan pemain cergas dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi final pada Sabtu ini dan ini merupakan final kelima berturut-turut pasukan.

“Apa yang saya mahukan daripada pemain adalah mereka memberikan persembahan yang terbaik dan kami akan mengejar kejuaraan treble untuk musim ini, insya-ALLAH,” katanya.

Di Stadium Hoki Nasional Bukti Jalil, aksi separuh akhir kedua Liaoning Women’s Hockey Team menentang PDRM Blue Warriors berakhir dengan keputusan seri.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati terpaksa bermain dalam keadaan hujan lebat pada penghujung perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan buntu untuk menjaringkan sebarang gol.


Piala Vivian May Soars

Final

Liaoning Women’s Hockey Team lwn Malaysian University

(Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (1), 6 petang)

Penentuan ketiga keempat

PDRM Blue Warriors lwn Negeri Sembilan

(Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (2), 4 petang)