Malaysian University mahu rampas kembali trofi


Lailin (kanan) mahu para pemain Malaysian University tenang berdepan Liaoning pada aksi final Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Facebook KHM
Lailin (kanan) mahu para pemain Malaysian University tenang berdepan Liaoning pada aksi final Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Facebook KHM
A
A
A

SELEPAS gagal menjuarai Piala Vivian May Soars tahun lepas, Malaysian University bertekad untuk menjulang semula piala berprestij itu dengan menewaskan pasukan Liaoning pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Pengendali skuad Malaysian University, Lailin Abu Hassan berkata, edisi kali ini merupakan tahun terbaik untuk skuad kendaliannya memburu gelaran treble setelah berjaya membawa pulang Piala Sumbangsih dan menjuarai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Bagaimanapun beliau berkata, pasukan kendaliannya itu perlu menempuh laluan sukar memandangkan pasukan yang akan ditentang pada perlawanan akhir bukanlah calang-calang lawan.

"Liaoning mempunyai pemain yang mempunyai kekuatan asas yang bagus, pemain perlu fokus untuk perlawanan akhir esok (Sabtu).

"Tekanan memang tapi apa yang penting cara pemain sesuaikan diri dengan tekanan itu, harap mereka akan lebih tenang, kita akan buat analisis video," katanya pada sidang media Piala Vivian May Soars 2024 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.

Malaysian University mengesahkan kemaraan ke final selepas menundukkan Negeri Sembilan dengan agregat 8-2 menerusi kemenangan 4-1 usai separuh akhir pertama dan kedua.

Pasukan Liaoning pula turun berbekalkan kemenangan 3-0 pada separuh akhir pertama ke atas PDRM Blue Warriors dan berjaya mengekalkan kelebihan tersebut selepas aksi separuh akhir kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan.

Malaysian University sebelum ini merupakan juara Piala Vivian May Soars 2021 dan 2022 namun gagal mempertahankan kejuaraan itu pada edisi tahun lepas apabila ditewaskan Negeri Sembilan menerusi penentuan pukulan penalti 2-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!