Kerajaan laksana kajian penstabilan harga barangan Sabah, Sarawak, Labuan

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, bersetuju untuk melaksanakan kajian penstabilan harga barangan dan perkhidmatan bagi ketiga-tiga wilayah itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu, dibuat dalam mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut kenyataan itu, kajian yang akan dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak, bagi memastikan pelan tindakan yang diambil kerajaan dalam langkah intervensi ke atas penstabilan harga di negeri berkenaan berlandaskan data yang ada.

"Kerajaan Persekutuan dan negeri kekal cakna mengenai isu harga barang serta perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Agenda ini akan digerakkan melalui pendekatan senegara termasuklah penglibatan secara langsung kerajaan negeri, mengambil kira bidang kuasa kerajaan negeri dalam aspek tertentu melibatkan sektor makanan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kertas-kertas makluman dan pertimbangan berkenaan situasi pendapatan, perbelanjaan isi rumah, kadar inflasi, senario semasa serta trend kedudukan harga barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan, yang dibentangkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bahagian Harga Barangan Negara KPDN turut dibincangkan.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, ketua setiausaha KPDN, ketua pegawai eksekutif perbadanan Labuan dan ahli jawatankuasa tersebut.

Dalam kenyataan sama, KPDN memaklumkan jawatankuasa itu ditubuhkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya pendekatan dan kaedah terbaik dikenal pasti dalam memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Labuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: