SPR laksana proses kajian persempadanan semula bermula di Sarawak

SPR akan melaksanakan proses kajian persempadanan semula bermula di Sarawak.
SPR akan melaksanakan proses kajian persempadanan semula bermula di Sarawak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses kajian persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sarawak telah bermula tahun ini manakala di Sabah pada 2025, dan di Semenanjung Malaysia pada 2026, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Beliau berkata, bagi melaksanakan proses berkenaan, SPR akan membuat kajian dalam tempoh dua tahun dan selepas tempoh itu, satu laporan yang mengandungi penemuan-penemuan SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dalam proses itu banyak faktor akan diambil kira oleh SPR seperti proportionality.

"Mungkin kalau kita bandingkan penduduk di Bangi contohnya lebih kurang 300,000 pengundi berbanding dengan Putrajaya yang mungkin rendah jumlahnya, mungkin 30,000 atau 40,000 pengundi. Ini semuanya akan diambil kira oleh SPR dalam kajian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai persempadanan semula, memandangkan jumlah pengundi yang tidak dilihat seimbang bagi sesetengah kawasan Parlimen.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung penurunan drastik dalam peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 14 dan 15, Ramkarpal berkata, peratus keseluruhan keluar mengundi masing-masing adalah 84.84 peratus, 82.3 peratus dan 74.74 peratus.

Beliau berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah dipengaruhi denominator digunakan iaitu jumlah pemilih berdaftar yang tinggi susulan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik serta penurunan had umur pengundi pada 18 tahun.

Selain itu, Ramkarpal berkata, sepanjang tahun 2022, sebanyak 206 sesi program pendidikan pengundi dengan penyertaan 123,647 peserta telah diadakan yang menumpukan untuk memberi kefahaman terhadap proses pilihan raya di Malaysia dan kepentingan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada 2023, Akademi Pilihan Raya (APR) telah melaksanakan 233 program pendidikan pengundi melibatkan 66,926 peserta daripada pelbagai institusi pendidikan, kementerian serta pertubuhan bukan kerajaan. - Bernama