10,413 warga PDRM terima APC 2023

Razarudin (tengah) menerima replika cek Sahabat PTPTN berjumlah RM67,194 untuk Tabung Kebajikan PDRM.
Razarudin (tengah) menerima replika cek Sahabat PTPTN berjumlah RM67,194 untuk Tabung Kebajikan PDRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10,413 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah tersebut adalah berdasarkan kuota pemberian APC diperuntukkan kepada warga PDRM berdasarkan kiraan lapan peratus kuota yang telah ditetapkan.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 1,068 Pegawai Kanan Polis, 8,376 Pegawai Rendah Polis dan selebihnya pegawai awam menerima anugerah ini.

"Pada hari ini, kita meraikan seramai 42 orang warga PDRM yang menerima sijil anugerah bagi penilaian 2023," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian APC PDRM 2023 di Bukit Aman, di sini, pada Khamis.

Pada majlis tersebut, antara penerima APC, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamed Zaki Harun; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid; Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman, Datuk Samsuddin Basir, Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainuddin Ahmad dan Komandan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd. Idzam Jaafar.

Razarudin berkata, majlis penyampaian sijil anugerah kepada para penerima yang lain akan diadakan di peringkat jabatan, kontinjen serta formasi masing-masing.

"Selain daripada pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang pegawai penerima, APC juga merupakan salah satu kriteria yang diambil kira dalam aspek pengurusan sumber manusia antaranya berkaitan kemajuan kerjaya," katanya.

Beliau berkata, pemberian APC menjadi asas sokongan bagi proses kenaikan pangkat dan peluang untuk menyertai kursus sama ada dalam mahupun luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap agar pengiktirafan ini menjadi suntikan semangat kepada para penerima serta warga pasukan yang lain untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin turut merakamkan penghargaan kepada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyampaikan replika cek Sahabat PTPTN berjumlah RM67,194 kepada Tabung Kebajikan PDRM.

"Wang yang disalurkan ini merupakan pulangan yang diterima PDRM sepanjang tahun lalu, hasil daripada beberapa perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PTPTN kepada warga pasukan," ujarnya.