Baru tangkap, harimau belang muncul lagi

Mohamed Khairi mendakwa melihat harimau belang melintas jalan di kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Kuang, Chemor pada Ahad. Foto ihsan pembaca
Mohamed Khairi mendakwa melihat harimau belang melintas jalan di kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Kuang, Chemor pada Ahad. Foto ihsan pembaca
A
A
A

TAMBUN - Baru tangkap, penduduk kembali dikejutkan dengan kehadiran seekor lagi harimau belang di kawasan ladang kelapa sawit Ulu Kuang, Chemor di sini pada Ahad.

Penemuan terbaru itu selepas seekor harimau belang jantan dinamakan Yob Kuang berjaya memasuki perangkap, Sabtu lalu.

Kelibat pak belang disedari seorang penternak, Mohamed Khairi Shafiei, 63, sekitar jam 7 malam ketika haiwan itu melintas jalan kira-kira tujuh meter di hadapan keretanya.

Menurutnya, haiwan itu pertama kali dilihat selepas mengusahakan ternakan lembu sejak lima tahun lalu.

"Saya menaiki kereta bersama rakan dan seorang pekerja untuk melihat lembu-lembu yang dibiarkan merayau cari makan di kawasan ladang ini.

"Melihat haiwan itu melintas, saya terus hubungi rakan untuk memaklumkan penemuan itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Mohamed Khairi berkata, meskipun ada lembu-lembunya hilang, namun dia tidak mengesyaki ia angkara haiwan pemangsa terbabit.

"Pekerja saya pun tidak pernah mengadu jumpa bangkai lembu atau kesan tapak kaki harimau.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti gembala lembu jalan seperti biasa dengan menaiki motosikal.

"Selepas jumpa harimau depan mata, dia tidak berani turun ke ladang.

"Buat sementara waktu ini saya tidak galak pekerja saya gerak sendirian," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ulu Kuang, Hamdan Ishak berkata, penemuan baharu itu menyebabkan penduduk berasa bimbang untuk turun bekerja di ladang sawit dan menoreh getah.

"Mula kami berasa legalah apabila harimau masuk perangkap Sabtu lalu tetapi dapat sahaja aduan jumpa lagi, kami mula berasa bimbang akan keselamatan diri.

"Difahamkan saiz tapak kaki kali ini hampir sama dengan Yob Kuang.

"Perhilitan pun ada beri nasihat agar tidak keluar pada waktu gelap," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan berkaitan harimau belang itu di kawasan terbabit.

"Lokasi penemuan ini pada jarak kira-kira satu kilometer dari perangkap yang dimasuki harimau jantan, Sabtu lalu.

"Kita percaya ada lagi harimau lain di kawasan itu dan kita akan pantau kawasan berkenaan dengan membuat rondaan," katanya.

Media melaporkan seekor harimau belang jantan dianggarkan berusia enam tahun dipercayai dari Hutan Simpan Bukit Kinta berjaya memasuki perangkap selepas menggunakan umpan bangkai lembu, Sabtu lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!