Tengku Hassanal selamatkan helang tersangkut pada tajur

Anggota bomba membantu membawa burung helang yang diselamatkan ke tebing sebelum dilepaskan di tempat selamat. Gambar kanan: Tangkap layar video tular memaparkan detik Tengku Hassanal membantu menyelamatkan burung helang yang tersangkut tajur ketika perjalanan menuju ke Jeti Kampung Ganding daripada Pasir Tambang Kuala Tembeling sempena Jelajah Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 pada Rabu.
Anggota bomba membantu membawa burung helang yang diselamatkan ke tebing sebelum dilepaskan di tempat selamat. Gambar kanan: Tangkap layar video tular memaparkan detik Tengku Hassanal membantu menyelamatkan burung helang yang tersangkut tajur ketika perjalanan menuju ke Jeti Kampung Ganding daripada Pasir Tambang Kuala Tembeling sempena Jelajah Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyelamatkan seekor burung helang yang tersangkut pada tajur bukti keprihatinan baginda terhadap usaha melindungi hidupan liar.

Peristiwa yang berlaku ketika Tengku Hassanal dalam perjalanan menuju ke Jeti Kampung Ganding daripada Pasir Tambang Kuala Tembeling sempena Jelajah Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 pada Rabu.

Peristiwa itu disaksikan sendiri wartawan TV3, Fazli Ahmad yang turut menyertai jelajah tersebut.

Fazli berkata, kejadian berlaku pada tengah hari ketika baginda mengetuai jelajah itu dalam perjalanan ke Jeti Kampung Ganding, Jerantut.

Fazli menunjukkan burung helang yang diselamatkan Tengku Mahkota sebelum dilepaskan ke tempat selamat.
Fazli menunjukkan burung helang yang diselamatkan Tengku Mahkota sebelum dilepaskan ke tempat selamat.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, rombongan baginda ternampak seekor burung helang tersangkut pada tajur dan hampir lemas di tebing Sungai Pahang itu.

"Tengku Hassanal mengarahkan tekong bot menghampiri burung itu dan baginda sendiri segera memotong tali yang tersangkut pada unggas itu.

"Saya yang ketika itu menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama juru gambar beberapa media lain mendekati bot dinaiki baginda untuk merakam detik menyelamat nyawa burung itu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Fazli berkata, selepas tali tajur tersangkut dipotong, burung helang itu segera diselamatkan kerana keadaannya begitu lemah dan tidak mampu terbang.

"Seorang anggota bomba bertindak terjun dan cuba mengambil burung itu, malangnya kuku helang berkenaan mencakar dan tersangkut pada tangan serta jaket keselamatan dipakai.

"Melihat situasi agak cemas itu, saya henti merakam dan segera membantu anggota bomba terbabit," katanya.

Dia berkata, selepas ditangkap, Tengku Mahkota Pahang menitahkan burung itu dibawa dan dilepaskan ke tempat selamat.

"Saya bersama seorang lagi anggota bomba yang berada di atas bot bertindak mengambil burung itu sebelum tekong mengemudi bot ke tebing.

"Burung helang itu dilepaskan di tempat selamat seperti dititahkan Tuanku," ujarnya.

Fazli berkata, keprihatinan terhadap hidupan liar yang ditunjukkan Tengku Mahkota Pahang itu dipuji dan perlu dicontohi.

Video Tengku Mahkota Pahang menyelamat burung helang itu tular selepas dimuat naik dan dikongsi baginda sendiri melalui beberapa laman sosial selain perkongsian dari netizen.

Rata-rata netizen memberi respon positif dan memuji tindakan Tengku Hassanal itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!