Cuaca buruk sekat misi Azhan Rani tawan Gunung Island Peak

Azhan Rani (kiri) bersama Mohd Fakhrul (kanan) serta tiga lagi pendaki ke Island Peak bergambar di Island Peak Base Camp sebelum meneruskan misi pendakian menawan puncak gunung tersebut baru-baru ini.
Azhan Rani (kiri) bersama Mohd Fakhrul (kanan) serta tiga lagi pendaki ke Island Peak bergambar di Island Peak Base Camp sebelum meneruskan misi pendakian menawan puncak gunung tersebut baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angin kencang dan suhu di bawah negatif 25 darjah Celsius menghalang misi pelakon, Azhan Rani untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Island Peak, Nepal, semalam.

Pelakon utama drama Khunsa yang bakal disiarkan di Astro Ria bermula 11 Mac ini terpaksa berpatah balik pada ketinggian 5,600 meter dari aras laut atas faktor keselamatan.

Ketua Pendaki, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, keputusan untuk berpatah balik itu terpaksa diambil selepas berbincang dengan Sherpa.

“Pendakian kami ke puncak terhalang setelah mencuba separuh jalan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Atas faktor keselamatan, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik dan tidak meneruskan pendakian.

“Sewaktu pendakian tiba di High Camp pada ketinggian 5,600m, suhu telah mencecah -25 dan tiupan angin terlalu kencang, sekali gus menyukarkan pendakian.

“Selepas berbincang dan mendengar nasihat Sherpa, kami akur untuk berpatah balik,” katanya.

Azhan Rani (kanan) bergambar kenangan bersama kesemua pendaki di Tok Tok sebelum mereka berpecah meneruskan pendakian ke EBC dan Island Peak.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fakhrul Munir turut berbincang untuk menambah sehari lagi tempoh pendakian, namun, Sherpa tidak memberi jaminan keadaan cuaca akan kembali baik.

Selain Azhan dan Mohd Fakhrul Munir, tiga lagi pendaki yang mengikuti misi itu ialah Azmi Mohd Ariffin, Khalid Abd Hanid dan pendaki tunggal wanita, ZarinaAbd Rahman.

Sementara itu, Azhan yang membawa misi mengibarkan bendera Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, beliau tetap bersyukur meskipun misi menawan puncak Island Peak yang berketinggian 6,160m tidak kesampaian.

“Apa yang bermain di fikiran saya sekarang adalah balik rumah dengan selamat selepas menempuh pengalaman yang menakutkan.

“Kami memulakan pendakian dalam keadaan fizikal yang baik dan semangat yang tinggi tetapi cuaca buruk menghalang misi kami,” katanya.

Selain itu, lima pendaki lagi berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut.

Seramai 13 orang pendaki menggalas cabaran mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal kali ini.

Pendakian Amal SAR Ahsana Ke Island Peak dan Everest Base Camp Bersama Azhan Rani 2024 dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan ini diadakan bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu sebuah rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan AHSANA Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan Autism.

Majlis Flag Off yang diadakan di Ruang Legar Anjung Tinjau, LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 Februari lalu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad. - Awani