Dua kes influenza A di Selangor di Cyberjaya, Klang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan dua kejadian wabak influenza A berlaku di Cyberjaya dan Klang pada Rabu lalu.

Pengarahnya, Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman bagaimanapun berkata, kes terbabit tidak melibatkan sebarang penutupan sekolah di Selangor.

Menurutnya, wabak pertama dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya melibatkan 20 pelajar dan seorang guru, manakala kes kedua melibatkan dua beradik di Klang.

"Sehingga kini, sebanyak 20 pelajar SK Cyberjaya telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, hanya seorang pelajar lelaki dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta, namun dilaporkan stabil.

"Kejadian dalam keadaan terkawal dan tiada kes baharu dilaporkan sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara di Klang Dr Sha'ari berkata, dua beradik itu telah menerima rawatan di fasiliti kesihatan.

"Salah seorang daripadanya masih dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi telah menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Beliau turut menggalakkan golongan berisiko mendapatkan vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta serta mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi bagi mencegah penularan jangkitan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Jadikan amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pembersih tangan (hand sanitizer), mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat," katanya.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Penularan menjadi lebih mudah di tempat-tempat padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan serta kem-kem tentera atau polis.

Mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza dinasihatkan berehat di rumah dan sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung.

Orang awam diminta segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk serta sakit tekak berterusan.