PM Singapura pertahan perjanjian konsert Taylor Swift

Taylor Swift. - AFP
Taylor Swift. - AFP
A
A
A

SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, pengaturan dengan menjadikan negara itu sebagai satu-satunya lokasi persinggahan penyanyi Taylor Swift di Asia Tenggara selama enam hari dalam konsert Eras Tour, bukan tindakan tidak mesra terhadap negara lain di rantau ini.

Beliau berkata, insentif tertentu telah disediakan oleh dana pembangunan pelancongan Singapura untuk memutuskan perjanjian itu dan ia ternyata menjadi pengaturan yang sangat berjaya bagi republik tersebut.

"Ia adalah dana pasca Covid-19 untuk memulihkan sektor pelancongan selepas pandemik dan kesepakatan telah dicapai dan ia ternyata berjaya. Saya tidak melihat isu itu sebagai tidak mesra," katanya.

Hsien Loong menjawab soalan wartawan dalam satu sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony, Albanese selepas Mesyuarat Tahunan Pemimpin Singapura-Australia kali ke-9 di Melbourne.

Beliau juga berada di Melbourne bersama pemimpin Asean lain bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia untuk memperingati Jubli Emas Hubungan Dialog Asean-Australia.

Sebelum ini, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dilaporkan berkata, bahawa beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Singapura menyokong kewangan konsert Swift dengan menawarkan AS$2 juta (RM9.46 juta) hingga AS$3 juta (RM14.9 juta) setiap pertunjukan untuk hak eksklusif di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura, Edwin Tong, memberitahu CNA bahawa jumlah itu 'tidak setinggi' seperti yang dikemukakan dalam laporan media itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: